Kukuhkan pertahanan demi kesejahteraan ekonomi - Utusan Malaysia

Kukuhkan pertahanan demi kesejahteraan ekonomi

Kekuatan pertahanan boleh dibentuk dengan aset pertahanan yang moden dan barisan pertahanan yang mencukupi bagi menghadapi musuh yang boleh menggugat dan meragut kedaulatan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA dikejutkan dengan penubuhan perikatan ketenteraan yang terdiri daripada Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS). Perkembangan ini jelas menunjukan kekuatan pertahanan sesebuah negara merupakan satu elemen yang penting demi menjaga kedaulatan negara daripada ancaman luar. 

Pakatan AUKUS berkongsi teknologi pertahanan yang merangkumi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain. Ini merupakan perkongsian pertahanan terbesar dalam beberapa dekad. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa pakatan ini adalah sesuatu yang serius dan akan merosakkan keamanan dan kestabilan serantau dan memperhebat perlumbaan senjata. 

Walau bagaimanapun, keadaan ini harus dipandang daripada sudut yang baik yang mana perkembangan ini menunjukkan tiga negara besar itu memandang serius  elemen pertahanan sebagai kekuatan sesebuah negara. Perikatan AUKUS dilihat pengaturan keselamatan paling penting antara ketiga-tiga negara sejak Perang Dunia Kedua.

 

Bentuk strategi pertahanan

Perkembangan yang berlaku ini haruslah dipandang serius oleh Malaysia dan negara-negara serantau iaitu Asean. Kerjasama pertahanan antara negara Asean adalah strategi terbaik  bagi mengimbangi  pengaruh kuasa besar AUKUS. 

Ini kerana negara yang tidak aman akan menggugat tahap sosioekonomi negara dan dalam jangka masa yang panjang perkembangan ekonomi juga akan terbantut. Ini terlihat dengan perkembangan ekonomi yang agak lembab untuk negara-negara Timur Tengah yang terlibat dalam peperangan.

Kedaulatan merupakan perkara asas dalam sesebuah negara. Sebuah negara yang berdaulat, selamat dan aman mampu memberikan suasana ekonomi yang baik. Dalam suasana yang aman kegiatan ekonomi dapat berjalan dengan lancar dan rakyat dapat menjalankan pekerjaan dalam keadaan yang sejahtera dan selamat. 

Sehubungan itu, negara harus menyediakan keselamatan dalam negara yang baik dan melindungi negara dari ancaman luar dengan kekuatan pertahanan demi kelangsungan ekonomi yang mampan. Kekuatan pertahanan boleh dibentuk dengan aset pertahanan yang moden dan barisan pertahanan yang mencukupi bagi menghadapi musuh yang boleh menggugat dan meragut kedaulatan negara.

 

Perbelanjaan pertahanan

Negara-negara maju seperti  AS, China, India, Rusia, dan Arab Saudi sangat mengutamakan perbelanjaan ketenteraan bagi memastikan keselamatan dan kekuatan negara terjaga kerana kekuatan ketenteraan dapat mengukuhkan ekonomi  negara. Lima negara ini mempunyai jumlah perbelanjaan ketenteraan yang terbesar pada 2019 dan merangkumi 60 peratus perbelanjaan ketenteraan global. 

Walau bagaimanapun, pemahaman ini agak mengelirukan pada mata kasar sesetengah individu kerana beranggapan perbelanjaan yang besar akan mengurangkan pendapatan negara. Untuk mendalami pemahaman ini, cuba kita amati sejarah  yang mencatatkan dua peperangan besar yang telah mengubah sejarah peradaban dunia. 

Perang Dunia Pertama  (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945)  telah menghancurkan ekonomi negara yang terlibat. Ekonomi negara terjejas teruk dalam Perang Dunia Pertama yang dilihat sebagai salah satu sebab Kemurungan Besar Dunia (The Great Depression). Tempoh ini dianggap sebagai zaman kemelesetan ekonomi terbesar dan sering digunakan pada abad ke-21 sebagai kayu pengukur dalam membandingkan sejauh mana ekonomi zaman moden boleh mengalami kejatuhan.

Perbelanjaan ketenteraan dapat memperkasakan keselamatan negara dan memperkukuh kekuatan ekonomi sesebuah negara, selari dengan Dasar Keselamatan Negara yang menggariskan teras kelima,  iaitu Keutuhan Ekonomi. Dalam teras ini, pertahanan negara akan mendukung keutuhan ekonomi yang mampan serta berdaya tahan terhadap ancaman-ancaman berkaitan ekonomi dari dalam dan luar negara. 

Sumbangan perbelanjaan ketenteraan kepada ekonomi adalah apabila negara yang aman dan selamat dapat menawarkan banyak peluang pekerjaan. Perbelanjaan ketenteraan menciptakan infrastruktur yang besar kepada pegawai tentera dan dengan ini tumbuhnya perniagaan swasta yang muncul sebagai hasil perbelanjaan tentera. Syarikat–syarikat ini terdiri daripada syarikat swasta yang mengeluarkan senjata, barang keperluan operasi ketenteraan, sehingga restoran yang muncul berhampiran dengan pangkalan mahupun kem tentera yang dapat menyemarakkan aktiviti ekonomi. 

Keadaan ini adalah sangat baik kerana ia juga turut menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi sebahagian komponen dalam ekonomi yang berkemampuan menawarkan banyak peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Seterusnya syarikat swasta yang berpotensi dan mampu menjana keuntungan dalam perniagaan dapat menyumbang pendapatan kepada negara dalam bentuk pembayaran pendapatan hasil perniagaan (cukai).

 

Tarik pelabur

Selain daripada itu sumbangan besar perbelanjaan ketenteraan adalah dapat menarik kedatangan pelabur asing untuk melabur dan membuka syarikat di negara tersebut. Dalam suasana negara yang selamat, aman dan bebas daripada penceroboh, para pelabur asing dapat menjalankan perniagaan dengan produktif. 

Keadaan ini baik untuk pembangunan  ekonomi negara dan dalam masa sama menawarkan banyak peluang pekerjaan baharu. Pertambahan pelabur asing akan membantu pembangunan negara dan seterusnya mempengaruhi industri pelancongan dalam peningkatan nilai matawang negara.

Sebaliknya pengurangan perbelanjaan ketenteraan membayangkan situasi yang menakutkan dan sudah pasti akan menjejaskan keselamatan dan seterusnya mampu merosakkan negara. Pertahanan negara yang lemah pasti tidak mampu mempertahankan keselamatan dan keamanan negara yang akhirnya menyebabkan keadaan huru-hara.

Justeru itu, Belanjawan Malaysia 2022 harus meletakkan  perbelanjaan ketenteraan negara sebagai elemen penting dan peruntukan tahunan untuk  perbelanjaan pertahanan perlulah dikaji dengan teliti. Walaupun Malaysia tidak mengalami ketegangan diplomatik yang ketara dengan mana-mana pihak buat masa ini namun kesiapsiagaan untuk menghadapi ancaman luar perlu diberi perhatian.Perkembangan perikatan ketenteraan AUKUS seharusnya menjadi pembuka mata kepada dunia bahawa pertahanan negara adalah satu elemen yang penting. 

 

Penulis merupakan Pengarah Pusat Pengajian Sepanjang Hayat (APEL) dan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP) UPNM

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya