TAMPIN: Seramai 339,951 murid dan pelajar melibatkan tingkatan 3 dan empat serta tahun 1, 2 dan 3 layak hadir ke sekolah bagi tambahan sesi persekolahan bersemuka yang bermula kelmarin dan semalam.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, secara keseluruhan, proses kehadiran murid dan pelajar tersebut berjalan lancar dan jumlah kehadiran berada pada tahap cukup baik.
“Secara keseluruhannya, hampir 340,000 murid di seluruh negara memulakan kembali sesi persekolahan mereka, ia satu proses berperingkat yang kami laksanakan dengan kemasukan secara sedikit demi sedikit.
“Ia untuk kami pastikan prosedur operasi standard (SOP) itu dapat kita laksanakan dengan baik. Jika ada tambah baik yang perlu dibuat, kami boleh tambah baik SOP sebelum kumpulan berikutnya mula memasuki sekolah,” katanya.
Radzi berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun di sini, semalam.
Menurutnya, di Negeri Sembilan seramai 51,193 murid memulakan sesi persekolahan bersemuka mereka semalam membabitkan sebanyak 125 sekolah.
Pada lawatan tersebut, beliau turut melihat sesi pembelajaran serta beramah mesra dengan murid-murid yang kembali memulakan sesi persekolahan mereka selain turut meninjau kemudahan dan infrastruktur sekolah tersebut.
Sementara itu, Radzi berkata, ketika ini Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan perbincangan bagi memantau kadar vaksinasi dalam kalangan murid khususnya melibatkan pelajar tingkatan 5.
“Kami mungkin mempertimbangkan untuk tidak adakan penggiliran, mungkin kami mulakan dengan murid kelas peperiksaan dahulu. Memandangkan jumlah terlibat agak besar, jadi kami sedang bincang dengan Kementerian Kesihatan untuk melihat apakah kadar vaksinasi dalam kalangan murid tingkatan 5, supaya mereka boleh hadir ke sekolah tanpa penggiliran.
“Ini kami sedang pantau dari hari ke hari. Secara keseluruhan jumlah murid yang sudah vaksin dalam kalangan tingkatan 5 ramai, sudah lebih 97 peratus di seluruh negara. Dos kedua masih sekitar 50 peratus, jadi kami sedang pantau vaksinasi kelas peperiksaan ini.
“Kalau sudah sampai ke tahap tertentu yang dirasakan sesuai untuk bawa mereka balik (ke sekolah) tanpa penggiliran, maka kami akan bawa mereka tanpa penggiliran, buat masa ini kami masih memantau,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Radzi berkata, pihak KPM turut akan mengadakan persiapan bagi menghadapi situasi musim tengkujuh dan banjir di negeri-negeri terlibat.
“Tindakan kami adalah berdasarkan keperluan dan keadaan, insya-Allah kami akan usahakan yang terbaik supaya sesi persekolahan ini dapat berjalan sehingga ke hujung penggal ini,” katanya. – UTUSAN