JIWAKU, TVET platform terbaik - Utusan Malaysia

JIWAKU, TVET platform terbaik

SHARIFAH Annis Wafa Syed Munir Wafa dipilih pemenang Pertandingan Video Penyediaan Kuih Gedung Cak yang diadakan sempena program Jalinan Warisan Kebangsaan dan UNESCO (JIWAKU) Politeknik dan Kolej Komuniti 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bentuk pelajar politeknik, kolej komuniti jadi modal insan seimbang

PERMATANG PAUH: Jalinan Warisan Kebangsaan dan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) atau JIWAKU Politeknik dan Kolej Komuniti 2021 yang berkonsepkan kebudayaan dalam pendidikan diyakini boleh menjadi platform terbaik untuk digabungjalinkan bersama Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin berkembang ketika ini.

ZAINAB AHMAD

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata, pada masa yang sama, program tersebut juga boleh menjadi aspek penting dalam melahirkan kebolehpasaran graduan yang seterusnya akan membentuk modal insan seimbang yang sekaligus menjamin pembangunan sesebuah negara.

Dalam hal ini katanya, JPPKK sentiasa komited dalam mempelbagaikan program yang memberi penekanan ke arah pembangunan modal insan yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Program JIWAKU yang berkonsepkan pendidikan melalui kebudayaan ini telah hampir 10 tahun dianjurkan dengan pelbagai pengisian melibatkan kebudayaan, kesenian dan warisan negeri di Malaysia serta dilaksanakan mengikut zon.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha jabatan dalam memelihara, mengembang dan menyemarakkan lagi seni budaya warisan bangsa di Malaysia seiring dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bagi mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan program berkenaan, semalam.

Seramai 100 orang pelajar daripada 25 buah politeknik dan tiga buah kolej komuniti di seluruh negara mengambil bahagian dalam program yang diadakan secara dalam talian itu bermula 21 Oktober lalu hingga semalam.

Dianjurkan oleh Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), JPPKK dengan menjadikan Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini sebagai tuan rumah, pengisian utama program itu antara lain ialah untuk memperkenalkan budaya, seni dan warisan UNESCO yang terdapat di Pulau Pinang.

Antaranya pengisiannya termasuk mengadakan Bengkel Kuih Tradisi Gedung Cak dan Bunga Pudak, Lawatan Maya Sekitar Tapak Warisan UNESCO, Bengkel Boria dan Pertandingan Video Penyediaan Kuih Gedung Cak yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang dan Kedah.

Untuk Pertandingan Video Penyediaan Kuih Gedung Cak, sebanyak 31 penyertaan diterima daripada institusi yang terlibat dengan 10 pemenang dipilih beserta satu anugerah diberikan untuk persembahan terbaik.

Kolej Komuniti Kuala Kangsar (KKKK) mendominasi pertandingan tersebut apabila dua pelajarnya iaitu Sharifah Annis Wafa Syed Munir Wafa dan Nur Hani Arissa Mohd. Ibrahim masing-masing dipilih sebagai johan dan naib johan pertandingan manakala Nurshahira Hazaman dari Politeknik Kuching Sarawak pula berada di tempat ketiga.

Bagi kategori Persembahan Terbaik pula, ia menjadi milik pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dari Johor iaitu Muhammad Waieudin Syafiq Sabri.

Sementara itu, Pengarah PSP, Harith Fadzilah Abd Khalid berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mampu mengekalkan warisan budaya nenek moyang, namun, ia juga dapat meningkatkan jati diri khususnya dalam kalangan pelajar politeknik dan kolej komuniti ketika ini.

“Selaku tuan rumah untuk program pada tahun ini, saya amat teruja dengan semangat pelajar-pelajar ini yang mempunyai minat untuk mendalami budaya masyarakat di Pulau Pinang, khususnya,” ujar beliau yang memberitahu, keunikan program JIWAKU 2021 ini bakal diterjemah dengan kepelbagaian seni budaya masyarakat di Pulau Pinang seperti boria, kuih tradisi dan lain-lain

Tambahnya, keaslian seni budaya dan tradisi seperti inilah yang akan menjadi daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Pulau Mutiara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN