Ibu bapa tidak perlu risau hantar anak-anak ke sekolah – Mohamad - Utusan Malaysia

Ibu bapa tidak perlu risau hantar anak-anak ke sekolah – Mohamad

SEORANG guru memeriksa suhu seorang murid prasekolah sebelum memasuki bilik darjah bagi sesi persekolahan bersemuka di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, semalam. – GAMBAR/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Ibu bapa tidak perlu bimbang menghantar anak-anak mereka ke sekolah khususnya bagi murid prasekolah atas alasan keselamatan dan kesihatan mereka terjejas ekoran jangkitan pandemik Covid-19.

Hal itu kerana, kerajaan melalui pihak sekolah bersedia menerima kemasukan mereka semula bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti biasa dalam keadaan norma baharu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin memberi jaminan keselamatan murid sekolah akan sentiasa dipantau melalui beberapa persediaan rapi yang dilaksanakan pihak sekolah, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah pengoperasian institusi pendidikan.

“Pihak sekolah akan pastikan SOP sedia ada dan apa juga yang berkaitan keselamatan murid akan sentiasa diikuti sepanjang mereka berada di sekolah. Ini adalah perkara paling utama yang pihak kementerian, jabatan pendidikan dan sekolah ambil kira.

“Justeru, saya menyeru kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak bersekolah seperti biasa. Tidak perlu khuatir kerana kita telah menyediakan segala persiapan untuk keselamatan anak-anak.

“Memandangkan semalam adalah hari pertama untuk murid prasekolah memulakan sesi persekolahan, jadi memang tiada isu untuk mengatakan pihak sekolah tidak bersedia,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, di sini semalam.

Seramai 36 daripada 50 orang murid prasekolah SK Seksyen 7 menghadiri sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka sejak kerajaan membuka semula persekolahan berdasarkan ketetapan pengoperasian di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini menetapkan pengoperasian institusi pendidikan bagi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama penuh, sekolah harian dan penuh, International Baccalaureate Diploma (IBD), Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa bermula semalam.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, kata Mohamad, beliau berpuas hati dengan penerimaan murid prasekolah yang memberi maklum balas memberangsangkan kerana berpeluang menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka dengan guru-guru.

“Saya mendapati mereka sangat gembira dan teruja sebenarnya datang ke sekolah dan insya- Allah (pembukaan sekolah ini) memberi mereka sistem pembelajaran yang sepatutnya.

“Bagi ibu bapa yang masih bimbang sehingga tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah, ia terserah kerana sudah memberi pilihan, tetapi, pihak sekolah memang bersedia menerima kehadiran mereka (murid-murid/pelajar) selain soal keselamatan sudah dipersiapkan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya