KUALA PILAH: Ekosistem pendidikan negara bakal bergerak sepenuhnya selepas hampir kesemua sekolah kembali dibuka untuk proses persekolahan secara bersemuka.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, secara umumnya kesemua sekolah telah dibuka di hampir semua negeri melainkan Kedah dan Johor yang akan dibuka 10 Oktober ini.
Menurut beliau, seramai 143,000 murid sudah kembali ke sekolah melibatkan murid dan pelajar dari sekolah di negeri Kumpulan A dan Kumpulan B yang bermula kelmarin dan semalam.
“Tinjauan semasa pembukaan sekolah Kumpulan A dan Kumpulan B, semuanya berjalan cukup baik melibatkan tatacara pelaksanan dan juga kehadiran murid-murid bagi sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
“Kita melihat perkara-perkara yang telah ditetapkan dalam garis panduan pengoperasian pembukaan sekolah dipatuhi dengan baik, sama-sama kita doakan sesi persekolahan dapat terus berlangsung dalam keadaan teratur dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di sini semalam.
Terdahulu sebelum tiba di sekolah tersebut, Dr. Radzi turut membuat lawatan ke SMK Tunku Ampuan Durah di Seremban dan SMK Tunku Muhammad di sini.
Lawatannya diteruskan ke tiga buah sekolah lagi di Kuala Pilah iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Munawir dan Kolej Vokasional Juasseh.
Sementara itu, Dr. Radzi menjelaskan, kehadiran murid dan pelajar pada hari pertama persekolahan bersemuka melibatkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan juga sangat baik termasuk yang berada di sekolah berasrama penuh.
“Insya-Allah kemasukan pelajar untuk beberapa hari nanti kita akan dapat lihat apakah purata kemasukan setiap hari, data seminggu boleh tunjuk sedikit indikasi apakah keadaannya.
“Secara umumnya pelajar-pelajar peperiksaan, kita lihat mereka cukup gembira datang kembali ke sekolah khususnya pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mereka rasakan inilah ruang untuk duduk berbincang, menjawab soalan dan perkara yang memerlukan mereka ada interaksi terus di sekolah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan kaedah penggiliran dalam kemasukan semula pelajar ke sekolah untuk sesi pengajaran bersemuka juga membantu isu kesesakan semasa penyuraian pelajar.
“Kita ambil pendekatan baharu iaitu mengurangkan kapasiti sekolah kepada 50 peratus, ini merupakan tindakan yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Apabila kita buka sekolah tempoh hari, perkara pertama yang dirisaukan masyarakat, di luar sekolah bersesak-sesak.
“Sebab itu, kita ambil pendekatan untuk kurangkan kapasti sekolah 50 peratus dengan membahagikan kelas kepada dua kumpulan, maknanya dalam kelas murid kurang dalam sekolah juga murid kurang, dan insya-Allah dengan pengurangan ini sekiranya berlaku kesesakan sebelum ini, ia telah dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya. – UTUSAN