ECER-MEKAR bangunkan usahawan - Utusan Malaysia

ECER-MEKAR bangunkan usahawan

PROGRAM webinar usahawan digital untuk peserta empower ECER-MEKAR dan empower ECER di daerah Temerloh, Bentong dan Mersing, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Program hasil kerjasama ECERDC, Yayasan Petronas dan UniSZA

KEMAMAN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Yayasan Petronas dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bekerjasama membangunkan usahawan tempatan melalui program empower ECERMEKAR dan empower ECER.

Program yang bermula sejak 2011 itu bertujuan memberikan kursus dan latihan kepada peserta bagi membangunkan potensi  keusahawanan, sekali gus membantu peserta menjana pendapatan melalui kemahiran-kemahiran tertentu.

Pada tahun ini, program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawan di Terengganu mendapat tajaan daripada Yayasan Petronas dan dinamakan sebagai ECER-MEKAR.

Melalui tajaan tersebut, 400 peserta baharu di Kemaman dan Dungun diberi peluang untuk menyertai kursus latihan melibatkan  kemahiran seperti pembuatan bakeri dan pastri, masakan penyediaan makanan, juruteknik dan penyelenggaraan serta banyak lagi.

Pada 23 Oktober lalu, ECERDC menganjurkan Program Webinar Usahawan Digital – Norma Baharu Pasca-Covid-19 untuk peserta empower ECER-MEKAR daerah Dungun dan Kemaman serta empower ECER di daerah Temerloh, Bentong dan Mersing melibatkan 850 peserta.

Menurut ECERDC, program tersebut bertujuan membentangkan objektif dan maklumat berkenaan program tersebut kepada peserta  dari kelima-lima daerah tersebut.

Katanya, program itu turut memberi pendedahan serta kesedaran kepada penduduk sekitar daerah tersebut mengenai kepentingan menjadi usahawan yang berfikiran kreatif dalam waktu pandemik ini.

“Program ini juga memberi motivasi kepada peserta untuk mengubah minda dan kesedaran mereka,” katanya.

ECERDC menjelaskan, program yang dijalankan memberikan pengetahuan dan pendedahan berkenaan cara untuk menjana pendapatan dalam musim Covid-19 dan pendigitalan perniagaan kepada peserta.

Lebih penting lagi, katanya, melalui program tersebut, bakal usahawan didedahkan dengan prosedur memulakan perniagaan dan  meluaskan rangkaian perniagaan yang menjadi antara elemen penting kejayaan sesebuah perniagaan.

“Program ini juga dapat menarik minat orang ramai untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan dan mampu mendapatkan  pendapatan sendiri seterusnya meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

Program yang bermula pada pukul 8 hingga 11 pagi itu diadakan melalui aplikasi Zoom dan Facebook Live.

Dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kemaman, Mohd. Sophian Abu Bakar, ia turut dihadiri Ketua Bahagian Operasi Yayasan Petronas,  Tengku Noraida Tengku Mahmood; Pengurus Besar Pejabat Wilayah Pahang ECERDC, Datuk Mohd. Mazlan Sharudin; Pengurus Kanan Pejabat Wilayah Terengganu ECERDC, Razlee Hassan dan Pengurus Kanan Pejabat Wilayah Johor ECERDC, Muzarir Karnain Mahmood  Kamsani.

Sejak 2011, program empower ECER di Terengganu telah memberi manfaat kepada 2,150 peserta terdiri daripada golongan belia dan  dewasa yang berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

Begitu juga di Pahang dan Mersing, empower ECER memanfaatkan 12,219 peserta dan pada tahun ini, program tersebut melibatkan  150 peserta baharu dari daerah Temerloh, Bentong dan Mersing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya