KUALA PILAH: Keterujaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 kembali ke sekolah dan mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilihat di hari pertama persekolahan.
Seorang calon SPM 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah, Siti Nur Fatihah Zaide, 17, berkata, peluang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dengan guru itu sangat dinanti-nantikannya.
Menurutnya, dia kini tidak perlu lagi berhadapan dengan masalah capaian internet untuk berinteraksi secara terus dengan guru apabila mengalami masalah dalam pembelajaran kerana dapat hadir ke sekolah serta berbincang terus dengan guru.
“Saya juga rasa lebih selamat hadir ke sekolah apabila kesemua rakan sekelas saya sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 22 September lalu. Kami berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan SPM nanti.
“Saya harap agar sesi persekolahan bersemuka ini dapat berjalan dengan baik dan kami dapat terus mengikuti kaedah pembelajaran sebegini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ke sekolah tersebut, semalam.
Seorang lagi calon SPM, Farah Qistina Rosdi, 17, berkata, pembelajaran secara bersemuka di sekolah lebih mudah berbanding secara dalam talian.
“Bila pergi ke sekolah, saya dapat berbincang terus dengan guru dan rakan. Jadi proses pembelajaran menjadi lebih senang berbanding sekiranya mengikuti secara dalam talian,” katanya.
Menurutnya, dia juga menjadi semakin bersemangat untuk belajar dan akan memanfaatkan peluang belajar bersemuka di sekolah dengan sebaik mungkin untuk berinteraksi dengan guru.
“Saya juga akan memastikan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan terutamanya ketika berada di dalam sekolah bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN