1,131 lepasan SPM dapat pendedahan - Utusan Malaysia

1,131 lepasan SPM dapat pendedahan

HIDAYATUL Husna menunjukkan tablet yang diterima sempena Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 1,131 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didedahkan dengan pelbagai elemen Industri 4.0  sebagai persediaan dan galakan untuk mereka berkecimpung dalam kerjaya melibatkan industri tersebut kelak.

Pendedahan tersebut diberikan dalam program hasil kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melalui Asia Centre of Excellence for Smart Technologies (ACES) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), iaitu Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0.

Program tersebut dijalankan di bawah program empower ECER Akademik.

Selain sebagai galakan untuk menceburi kerjaya berkaitan I4.0, program itu turut memberikan maklumat berkenaan hala tuju kerjaya berkaitan I4.0 selepas tamat alam persekolahan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ACES, Datuk Ragu Sampasivam, aplikasi web ACES I4.0 mengandungi pelbagai input yang relevan dengan I4.0 dan turut mengetengahkan modul pembelajaran dengan konsep gamifikasi untuk pembelajaran yang lebih interaktif dan mampu menarik minat pelajar.

Kata beliau, aplikasi itu turut meningkatkan pengetahuan asas teknologi maklumat (IT) dan memberi pendedahan awal kepada peserta tentang perkembangan teknologi I4.0 yang semakin pesat.

UMI Izzatul Ashikin besama tablet yang diterima bagi mengikuti Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unisza, Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh pula berkata, lepasan SPM yang dipilih untuk menyertai program tersebut memenuhi beberapa kriteria, iaitu lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, mencapai peningkatan Gred Purata Murid (GPM) dalam Peperiksaan Percubaan SPM 2020 serta mempunyai rekod kehadiran 95 peratus dalam program empower ECER Akademik.

Jelas beliau, mereka yang terpilih juga merupakan daripada golongan B40 dan yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Pelaksanaan Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 ini merupakan inisiatif tambahan ECERDC dalam meningkatkan kesedaran awal pelajar tentang I4.0.

“Para pelajar yang dipilih ini telah diperkenalkan kepada teknologi digital terkini agar perkembangan pengetahuan dan kemahiran mereka seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa demi kemajuan negara,” katanya.

Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 diadakan di tiga negeri iaitu Terengganu (daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu dan Marang); Pahang (Jerantut, Maran, Rompin dan Temerloh) serta Johor (Mersing).

Selain pendedahan berkenaan I4.0, para peserta di ketiga-tiga negeri turut berpeluang berkongsi pandangan dan berinteraksi dengan Menteri Besar masing.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad meluangkan masa dalam Sesi Bual Mesra yang diadakan secara berasingan secara maya sepanjang tempoh pelaksanaan program rintis tersebut yang berakhir pada 31 Julai lalu.

Dalam sesi tersebut, ketiga-tiga Menteri Besar menzahirkan rasa bangga dengan kesungguhan dan pencapaian para peserta dan berharap program itu dapat diteruskan untuk mengembangkan minat serta pengetahuan para pelajar bagi mempersiapkan mereka untuk kerjaya I4.0 kelak.

Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 telah berlangsung selama tiga minggu dengan pendedahan diberikan kepada pelajar melalui 10 modul meliputi Pengenalan I4.0; Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR); Pembuatan Bahan Tambahan 3D; Internet Benda (IoT); Data Raya; Pengkomputeran Awan; Simulasi Termaju; Robot Berautonomi; Integrasi Sistem Sejagat dan Keselamatan Siber.

Menurut ACES, modul tersebut turut meliputi aplikasi melibatkan pemahaman pelajar mengenai I4.0 dan permainan dalam talian yang perlu dilengkapkan pelajar.

“Elemen gamifikasi dalam aplikasi tersebut melibatkan pelajar menerbangkan dron masing-masing melalui beberapa kawasan yang menjadi mercu tanda ECER antaranya pulau-pulau di Mersing, Johor; Jambatan Angkat (Drawbridge) KTCC di Terengganu; Menara Kuantan 188 di Pahang dan Ibu Pejabat ECERDC di Putrajaya,” katanya.

NAZRUL Iman turut menerima tablet untuk memudahkannya mengikut program.

Salah seorang peserta, Siti Zurinah Zolhayne dari SMK (Felda) Tenggaroh, Mersing berkata, peluang mengikuti program tersebut sangat berharga apabila dia berkesempatan untuk mempelajari pelbagai ilmu tentang teknologi canggih.

“Contohnya, topik yang saya paling minati ialah IoT kerana kecanggihan teknologi tersebut bukan sahaja boleh memudahkan pekerjaan malah melindungi dan menjimatkan kos penggunaan sumber.

“Saya berharap program ini akan diperkembang dan menjadi salah satu subjek untuk dipelajari pelajar sekolah masa kini,” katanya.

Sementara itu, lepasan SPM dari SMK Jerantut, Masainamazriyana Miskon pula melihat ilmu yang diterima dalam program tersebut mampu diaplikasikan dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan.

“Saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan, maka saya boleh aplikasikan pengetahuan ini untuk manfaat anak didik saya nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya