Varian Delta berisiko menjejaskan Bursa - Utusan Malaysia

Varian Delta berisiko menjejaskan Bursa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun Bursa Malaysia dan ringgit telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, namun risiko jangkitan varian Delta Covid-19 masih menular dan boleh memberi impak negatif terhadap ekonomi.

Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, oleh itu, Bursa Malaysia dijangka akan didagangkan antara 1,590 hingga 1,610 mata pada minggu ini manakala ringgit pula dijangka diniagakan antara RM4.16 hingga RM4.18 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Punca kenaikan utama bursa dan ringgit sejak kebelakangan ini adalah ucapan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell, yang menyatakan pihaknya akan mengurangkan pembelian aset berskala besar pada tahun ini.

“Bagaimanapun, peningkatan kadar faedah di AS mungkin akan mengambil masa yang lebih lama. Ucapan tersebut menyampaikan mesej kepada pasaran bahawa ekonomi AS berada di landasan yang betul untuk pulih tetapi pada masa yang sama Fed AS ingin mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan ancaman wabak Covid-19 masih belum reda,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujarnya, langkah tersebut telah disambut baik oleh pasaran-pasaran saham sedunia termasuk Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai cabaran yang bakal dihadapi oleh pasaran pada minggu ini, Adam memberitahu, selain risiko wabak Covid-19, turut menjadi tumpuan pelabur ialah persidangan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang akan bersidang 1 September ini bagi membincangkan pelan sama ada untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan seterusnya boleh mempengaruhi harga minyak mentah dunia.

“Jika OPEC bersetuju meningkatkan pengeluaran minyak, harga minyak mentah mungkin akan mengalami tekanan dan seterusnya memberi impak kepada syarikat minyak yang tersenarai di indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI),” katanya.

Kelmarin, indeks FBM KLCI ditutup melepasi paras 1,600 mata iaitu pada paras 1,602.38, naik 11.22 mata dari Jumaat lalu, kenaikan tertinggi dalam tempoh lebih dua bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya