Usaha KPDNHEP berhasil, harga ayam mula turun - Utusan Malaysia

Usaha KPDNHEP berhasil, harga ayam mula turun

PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP memantau harga barangan dan ayam di sebuah pasar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangani masalah kenaikan harga barangan keperluan khususnya ayam telah membuahkan hasil.

Ia terbukti apabila harga ayam bersih standard di beberapa negeri seperti Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur kini dijual di bawah harga RM10 sekilogram.

Di Kuala Lumpur misalnya, pemeriksaan dijalankan pihak kementerian mendapati hanya pasar awam di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) yang masih menjual ayam pada harga RM10 sekilogram, sementara pasar-pasar lain seperti di Pasar Chow Kit kebanyakannya peniaga menjual ayam di bawah RM10 sekilogram.

Jelas KPDNHEP, pihaknya memandang serius kenaikan harga barangan keperluan asas pengguna kerana ia memberi impak kepada kos sara hidup rakyat terutamanya dalam fasa pandemik Covid-19.

ALEXANDER NANTA LINGGI

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pihaknya sentiasa memantau harga barangan melalui lebih 1,000 pegawai pemantau harga yang mengutip harga setiap hari di mana trend pergerakan harga diketahui dan tindakan segera diambil ke atas premis yang menjual pada harga tidak munasabah berdasarkan pemantauan itu tanpa menunggu aduan daripada pengguna.

Selain itu katanya, lebih 2,200 pegawai penguatkuasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara agar peniaga di semua peringkat terutama peruncit tidak  mencatut harga dan kekal menjalankan perniagaan secara beretika.

“Pemantauan harga runcit pada 10 September 2021 mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah pada paras RM8.83 sekilogram.

“Di Semenanjung, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78 sekilogram dan julat harga jualan adalah antara RM5.99 hingga RM11 sekilogram,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, tambahnya, di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33 sekilogram. Manakala di Sarawak, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56 sekilogram.

PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan harga ayam di sebuah
pasar basah bagi memastikan peniaga mematuhi harga ditetapkan. – GAMBAR HIASAN

Dalam masa yang sama, katanya, pasar-pasar raya besar seperti Tesco atau Lotus, Giant, Mydin dan Econsave masih menawarkan ayam bersih standard pada harga berpatutan.

Alexander berkata, pihaknya telah mengarahkan agar pendekatan baharu diambil bagi menangani masalah kenaikan harga barang terutama harga ayam yang sering berulang.

“Pendekatan baharu itu membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga.

“Pendekatan itu bertujuan membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah selain peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya,” katanya.

Ujarnya, peniaga di semua peringkat rantaian diminta mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa  kenaikan mendadak dan berterusan.

Alexander berkata, industri dan bekalan ayam dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan KPDNHEP bersedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam di pasaran.

“Kami tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang telah dilaksanakan ketika musim perayaan besar Malaysia di bawah Skim Harga Maksimum MusimPerayaan (SHMMP),” katanya.

Menurut laporan, kenaikan harga ayam baru-baru ini adalah disebabkan peningkatan kos bagi bahan-bahan utama makanan ayam sehingga 80 peratus seperti jagung dan soya yang diimport sepenuhnya akibat permintaan yang tinggi terutama dari China dan kesan pertukaran asing.

PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP merekodkan harga ayam yang dijual oleh seorang peniaga. – GAMBAR HIASAN

Langkah kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi di mana kebanyakan negeri telah beralih ke Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah meningkatkan permintaan sedangkan pengeluaran ayam mengambil masa sekitar 32 hari sebelum ia boleh dipasarkan.

Apa yang berlaku adalah bersifat sementara dan KPDNHEP meminta pengguna bersabar serta menggunakan hak dalam mencari alternatif yang ada seperti premispremis yang masih menjual pada harga patut.

Pengguna disaran menggunakan aplikasi Price Catcher untuk mendapatkan maklumat harga dan premis serta membuat perbandingan harga barang keperluan sebelum berbelanja.

Pengguna dinasihatkan supaya  fleksibel untuk beralih ke premis  lain jika premis yang sering mereka berbelanja tidak lagi menjual pada harga yang menepati bajet mereka.

Sebagaimana biasa, kementerian semestinya akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri terutama pengeluar ayam dan mencadangkan pihak penternak memberi kerjasama supaya harga ayam tidak dinaikkan secara mendadak dalam julat masa yang singkat bagi mengelak berlaku tekanan harga di peringkat borong dan runcit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya