Tembakau: THR strategi lebih baik - Utusan Malaysia

Tembakau: THR strategi lebih baik

DR. KONSTANTINOS FARSALINOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau (THR) kini semakin popular di seluruh dunia dalam membantu menggalakkan perokok tegar untuk berhenti merokok melalui pengenalan produk alternatif yang kurang mudarat.

Namun, kesedaran tentang strategi tersebut masih di peringkat awal bagi negara Malaysia. Masih ramai yang mempunyai persepsi negatif terhadap produk THR seperti vape.

Ikuti temubual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR bersama Penyelidik Kanan University of Patras, Greece, DR. KONSTANTINOS FARSALINOS mengenai penggunaan produk pengurangan kemudaratan tembakau dalam kalangan perokok.

UTUSAN: Terdapat banyak spekulasi terhadap pengurangan kemudaratan tembakau (THR) di peringkat global. Apakah penemuan dan fakta di sebalik kajian itu?
DR. KONSTANTINOS: saya rasa ia adalah satu isu yang kontroversi dan selalu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat khususnya kepada perokok.

Bagi saya, THR adalah strategi yang baik berbanding langkah kawalan tembakau yang lain kerana tujuan utamanya adalah untuk mempercepatkan penurunan kadar perokok.

Kita tahu berhenti merokok adalah perkara yang sangat sukar untuk dilakukan. Kaedah pengambilan ubat untuk berhenti merokok juga kurang berjaya dengan kadar kegagalan sebanyak 78 peratus kerana perokok tidak mampu berhenti untuk jangka panjang. Kami juga tahu ada perokok yang belum bersedia untuk meminta bantuan perubatan.

Oleh itu, saya rasa tidak rasional dan tidak masuk akal untuk mengasingkan perokok dari alat tambahan seperti vape yang merupakan pilihan pertama bagi perokok-perokok yang tidak dapat dan tidak mahu berhenti merokok dengan kaedah yang telah diluluskan.

Kami mempunyai bukti yang kukuh mengenai potensi kemudaratan yang lebih rendah menggunakan vape berbanding rokok tembakau.
Namun, produk itu semestinya harus dikawal supaya tidak digunakan oleh orang yang tidak merokok tetapi pada masa yang sama strategi THR itu perlu diterapkan dalam kalangan perokok.

Ramai mengatakan vape boleh membantu perokok berhenti merokok. Apakah perbezaan menghisap vape dan menghisap rokok tradisional?
Produk THR mempunyai kekurangan pembakaran tembakau. Kita semua sedia maklum bahawa merokok melibatkan pembakaran tembakau.

Itulah sebab utama berlakunya bahaya. Justeru, apabila nikotin digunakan tanpa pembakaran, sebahagian besar racun yang terdapat dalam rokok tembakau akan dibuang.

Sememangnya, perokok digalakkan berhenti merokok dengan dua pilihan utama iaitu berhenti dengan sendiri tanpa menggunakan apa-apa alternatif atau berhenti merokok dengan bantuan pakar kesihatan dan ubat-ubatan.

Namun realitinya, majoriti perokok kini enggan atau tidak boleh berhenti merokok dengan pilihan-pilihan tersebut. Kerana itu, pilihan ketiga, iaitu menggunakan produk THR, amat diperlukan untuk mengurangkan kemudaratan tembakau.

Vape tidak berisiko tinggi kerana ia tidak mengandungi tembakau, ia hanyalah cecair yang menyejat.

Selain vape, di Sweden terdapat produk tembakau tanpa asap bernama Scandinavian Snus yang risikonya didapati lebih rendah berbanding menghisap rokok tembakau.

Justeru, kita harus menjelaskan dan meyakinkan perokok untuk berhenti merokok dengan beralih kepada produk yang kurang berisiko jika mereka tidak mampu untuk berhenti dengan sendiri atau dengan bantuan pakar kesihatan.

Apakah mitos-mitos yang sering dikaitkan dengan vape? Dan apa yang Dr. boleh katakan kepada orang ramai yang keliru dengan semua spekulasi mengenai vape?
Setelah seseorang itu menghisap rokok dalam tempoh yang lama, dan pada satu tahap membuat keputusan untuk berhenti, belum tentu ia boleh mengurangkan risikonya untuk mendapat penyakit yang berkaitan dengan merokok.

Pengurangan risiko untuk mendapat penyakit setelah berhenti merokok akan memakan masa yang lama (bergantung kepada tempoh seseorang itu menghisap rokok) dan keadaan kesihatannya tidak akan menjadi sama seperti orang yang tidak pernah merokok.

Menghisap vape memang mempunyai risikonya yang tersendiri, tetapi pengurangan risikonya berbanding risiko menghisap rokok tembakau ialah kira-kira 95 peratus.

Seperti yang saya katakan, vape adalah pilihan ketiga untuk perokok berhenti merokok. Jadi, bagi saya, tidak wajar untuk kita menghalang perokok-perokok memilih pilihan ketiga sebagai kaedah untuk berhenti merokok.

Tugas kita adalah untuk membimbing mereka untuk sekurang-kurangnya mencuba produk THR sebagai kaedah tambahan untuk berhenti merokok. Kita tiada pilihan lain selain itu.

Pilihan yang dimiliki perokok-perokok ialah berhenti merokok atau mengulangi percubaan mereka yang gagal sebelum ini dan mungkin akan gagal berulang kali, sehingga akhirnya, mereka berputus asa dan akan terus merokok.

Terdapat kajian yang menunjukkan perokok yang beralih ke vape memulakan tabiat yang baharu berbanding berhenti sepenuhnya. Apa pendapat Dr. mengenai perkara ini?
Mereka tidak akan memulakan tabiat baharu kerana tabiat mereka sebelumnya ialah menghisap rokok. Cuma mereka beralih kepada vape. Jadi, ia bukan tabiat yang baharu.

Walaupun tidak digalakkan, mereka memang mempunyai pilihan untuk menggunakan vape yang mengandungi nikotin.

Tetapi jika dibandingkan dengan menghisap rokok, ia adalah pilihan yang lebih baik. Masalah utamanya ialah rokok dan bukan nikotin.

Salah satu bantahan yang paling umum terhadap vape ialah kerana ia mengandungi nikotin dan boleh mendorong orang yang tidak merokok untuk merokok. Apakah pendapat Dr.?
Isu utama bukanlah nikotin tetapi bahan kimia yang lain terutamanya produk pembakaran tembakau. Produk tersebut tiada dalam vape.

Dengan vape, kita mampu menghapuskan sebahagian besar risiko dengan meminta perokok menggunakan produk yang tidak melibatkan pembakaran.

Adakah penetapan undang-undang penting, terutamanya di Malaysia di mana industri ini sedang berkembang dan berubah menjadi industri bernilai jutaan ringgit?
Setiap produk yang berada di pasaran pasti ada undang-undangnya. Jadi, undang-undang sangat penting dan perlu ditetapkan untuk produk THR kerana vape sasarannya ialah untuk orang yang menghisap rokok. Jadi tidak wajar ia ditawarkan kepada orang yang tidak hisap rokok atau kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Undang-undang itu patut dilaksanakan di semua negara dan pada masa yang sama produk itu turut didedahkan kepada golongan perokok untuk pilihan produk yang kurang berisiko.

Selain itu, undang-undang juga penting untuk memastikan kualiti sesuatu produk. Masalah yang sering dilihat ialah pihak berkuasa menggunakan undang-undang rokok tembakau untuk vape atau produk THR yang lain.

Ia adalah satu kesilapan yang besar kerana kita sepatutnya mendorong perokok untuk berhenti. Jika undang-undang produk THR ketat seperti undang-undang merokok, ia seperti menghalang mereka untuk berhenti.

Mereka akan fikir mengapa perlu cuba berhenti jika produk THR turut memudaratkan sama seperti menghisap rokok tembakau.

Jadi, pihak berkuasa harus menerapkan prinsip perkadaran untuk membuat peraturan dan undang-undang yang setanding dengan tahap risiko sesuatu produk.

Itu adalah satu-satunya cara untuk memastikan kualiti produk yang baik selain memastikan inovasi dan pengembangan produk yang lebih selamat dan memuaskan, sekali gus memberi motivasi kepada perokok untuk menggunakan produk yang kurang berisiko sebagai pengganti rokok tembakau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya