Pemain industri terutama pengeluar vape, perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam merealisasikan pelaksanaan regulasi, bagi memastikannya berada dalam ekosistem yang selamat dan sihat.
Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Perniagaan Luar Negara Snowplus, Derek Li, usahasama rapat antara industri dan pembuat dasar, mampu menyuntik ekosistem yang lebih baik kepada industri secara keseluruhan.
Beliau berkata, dengan cara itu, persetujuan kerajaan dan pengguna dapat dicapai, mempermudahkan urusan pentadbiran undang-undang yang fleksibel serta mampu mengekalkan persaingan sihat dalam industri.
Katanya, dengan melaksanakan rangka kerja undang-undang khas, ia dapat memberikan gambaran sebenarnya mengenai industri vape dan ekosistemnya.
“Kerangka kerja ini harus meliputi pendekatan lebih sistematik untuk memodifikasi, memantau dan kepatuhan terhadap standard akauntabiliti tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Snowplus merupakan syarikat gergasi vape antarabangsa berpangkalan di China, ditubuhkan pada 2018.
Pada tahun lalu, syarikat itu mula melebarkan sayap dalam pasaran global dan mencatatkan pertumbuhan tahunan empat kali ganda walaupun dalam keadaan dunia dilanda pandemik.
Menurut Li, Malaysia telah memainkan peranan besar dalam kejayaan syarikat itu kerana negara ini merupakan pasaran pertamanya di luar China.
“Kami amat berbangga kerana berjaya menjalin kerjasama erat dengan rakan kongsi dan komuniti vape tempatan dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
“Kejayaan syarikat kami di Malaysia telah membantu kami mengorak langkah memasuki pasaran Kanada, Filipina, Indonesia, United Kingdom (UK), Itali dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).
“Kami kini beroperasi di lebih 15 pasaran antarabangsa menerusi beberapa rakan kongsi, melalui laman web rasmi dan produk kami telah berada di lebih 47 negara,” jelas beliau.
Tambah Li, pihaknya percaya, perkembangan industri yang pesat, didorong oleh keinginan pengguna kepada alternatif yang lebih selamat.
Jelas beliau, sebagai alternatif kepada tembakau tradisional, industri vape telah berjaya menarik perhatian penggubal undang-undang dan pembuat dasar di seluruh dunia.
Kesedaran masyarakat mengenai kesan bahaya daripada rokok yang meningkat kata Li, telah menyebabkan pengguna mencari alternatif kurang mudarat.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, merokok punca utama kepada kematian pra-matang yang boleh dicegah dengan lebih tujuh juta kematian setahun di seluruh dunia.
Public Health Englangd (PHE) pula menyatakan, e-rokok dianggarkan 95 peratus kurang mudarat berbanding rokok tradisional.
Malah, agensi itu mendapati, e-rokok mempunyai potensi membantu mereka yang ingin berhenti merokok untuk membuang tabiat berkenaan sepenuhnya.
Li menambah, seiring dengan perkembangan industri, industri vape juga akan terus berkembang dan berinovasi.
“Didorong oleh komitmen kami untuk memberikan alternatif yang lebih selamat daripada rokok tradisional, kami yakin untuk terus meneraju industri sebagai satu jenama vape terkemuka di dunia,” katanya. – UTUSAN