Ibu bapa sambut baik buka sekolah, mahu SOP ketat - Utusan Malaysia

Ibu bapa sambut baik buka sekolah, mahu SOP ketat

MAZURA SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ibu bapa menyambut baik keputusan kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan bulan depan, bagaimananapun berharap prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan dan keselamatan anak-anak mereka dijaga dengan baik.

Menurut Mazura Said, 43, dia sebelum ini cukup bimbang apabila anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terlalu lama belajar secara dalam talian di rumah.

Katanya, apabila terlalu lama belajar di rumah, dia khuatir pembelajaran anaknya itu akan terjejas kerana suasana belajar bersemuka di sekolah tidak sama dengan belajar sendiri.

“Kalau duduk di rumah sahaja, kita bimbang jika mereka (anak) tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan dalam masa sama asyik bermain telefon sahaja.

“Saya gembira apabila sekolah akan kembali dibuka dan anak saya boleh kembali ke asrama dan boleh menumpukan sepenuh perhatian kepad pelajaran. Dalam masa sama, saya harap SOP di sekolah diperketatkan demi keselamatan anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

JAMIL OTHMAN

Jamil Othman, 48, yang mempunyai anak bersekolah di tingkatan empat pula berkata, dia gembira dengan berita pembukaan semula sekolah, namun berharap aspek keselamatan para pelajar dapat diberikan keutamaan.

“Belajar di rumah tidak sama seperti di sekolah, kalau pelajar tidak buat kerja sekolah pun cikgu tidak boleh denda mereka pun. Jadi, ada juga yang leka dan tidak fokus.

“Cuma saya harap kerajaan tekankan pada aspek keselamatan anak-anak. Bagi guru-guru yang enggan divaksin pula saya harap tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dengan pelajar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Jefri Johari, 34, berkata, dia tidak mempunyai masalah sama ada sekolah dibuka secara bersemuka atau pun secara proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)

“Kedua-dua pun saya tiada masalah. Kalau buka itu mungkin lebih baik. Cuma kita berharap semoga kes Covid-19 di negara ini tidak terus meningkat dan terkawal untuk keselamatan semua terutama para pelajar,” katanya.

KHAIRUL AZMI ZAKARIA

Khairul Azmi Zakaria, 40, yang mempunyai tiga orang anak yang bersekolah berumur antara lapan hingga 15 tahun pula berharap sesi persekolahan dapat dibuka kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan terlebih dahulu.

“Kalau nak buka sekolah itu boleh, tapi pastikan keadaan kes Covid-19 tidak teruk dan jaga SOP dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya