Buka sekolah elak murid tercicir, emosi terkesan - Utusan Malaysia

Buka sekolah elak murid tercicir, emosi terkesan

Kementerian Kesihatan tiada bukti kanak-kanak bawah 12 tahun memerlukan vaksin Covid-19. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan sekolah secara berperingkat bermula bulan depan dilihat berupaya membantu murid-murid dari terus keciciran dalam pelajaran sepanjang tempoh sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang boleh memberi kesan kepada emosi mereka.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamalullail Abdul Wahab berkata, pembukaan sekolah amat penting untuk membentuk kepelbagaian yang bukan sahaja meliputi pendidikan, tetapi membina keyakinan, soft skill dan sebagainya.

Beliau berkata, oleh kerana itu, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, keselamatan dan pe­ngajaran murid-murid adalah perkara penting yang perlu dite­ruskan de­ngan seimbang bagi memastikan mereka tidak terus tercicir.

“Walaupun guru belum lengkap atau tidak mengambil suntikan tidak dibenarkan ke sekolah, tetapi kita minta pelajar (situasi sama) untuk dibenarkan ke sekolah supaya mereka tidak terus ketinggalan.

“Oleh itu ruang-ruang perlu dicipta oleh pentadbir dan Kementerian Pendidikan (KPM) agar anak-anak boleh ke sekolah dalam keadaaan selamat untuk elakkan mereka ketinggalan.

“Malah tak semua pelajar ada kemudahan (PdPR) di rumah, maka saya berpandangan sebegitu supaya pendidikan mereka tidak terus tercicir dan pada masa sama keselamatan mereka dipastikan terjamin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

PROSEDUR operasi standard memastikan keselamatan pelajar yang hadir ke sekolah. – GAMBAR HIASAN

Terdahulu, pembukaan sekolah yang dijadualkan bermula pada 3 Oktober ini secara berperingkat mengundang kebimbangan ibu bapa walaupun hanya melibatkan sekolah-sekolah di bawah negeri-negeri Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Fasa 2 melibatkan kelas peperiksaan iaitu tingkatan lima dan enam, manakala negeri Fasa 3 melibatkan semua murid lain, namun tetap tertakluk kepada penilaian risiko di setiap negeri.

JAMALULLAIL ABDUL WAHAB

Menurut Jamalullail, pembukaan sekolah juga dapat membantu progress suntikan vaksin dalam kalangan murid-murid bawah 18 tahun yang bakal dilaksanakan kelak dengan lebih tersusun.

Katanya, perkara itu dilihat mampu mengelakkan murid-murid daripada ketinggalan menerima suntikan vaksin sekiranya program vaksinasi itu dibuat melalui sekolah.

“Walaupun masih belum tetap lagi (suntikan vaksin bawah 18 tahun), tetapi penyusunan dan langkah proaktif dapat dibuat oleh pihak sekolah bermula sekarang.

“Ini kerana apabila mereka datang ke sekolah, vaksinasi boleh berlaku di sekolah dengan kerjasama guru-guru di sekolah.

“Ini dapat meningkatkan kepercayaan ibu bapa untuk hantar anak-anak jika sekolah sedia ambil inisiatif untuk suntikan vaksinasi apabila tiba saat itu dan dibenarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah tiba masanya pihak sekolah mengambil langkah proaktif menyampaikan maklumat dan menyakinkan ibu bapa mengenai aspek keselamatan yang diambil.

“Mungkin mak ayah terutamanya di luar bandar ketakutan dan tidak sedia maklum dengan langkah-langkah yang diambil sehinggakan mereka (anak-anak) terus tertinggal.

“Kita tak mahu fobia ini berterusan dan sesetengah ibu bapa yang diambil kesempatan oleh anaknya untuk sengaja tidak hadir ke sekolah dengan alasan Covid-19,” katanya.

Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Rezki Perdani Sawai berkata, ibu bapa perlu memikirkan kesan emosi yang dialami oleh anak-anak mereka akibat rasa ketinggalan dalam pendidikan.

Katanya, ini berikutan kelas secara maya membuatkan para pelajar kurang fokus ketika sesi pembelajaran ditambah lagi dengan suasana persekitaran yang tidak memberangsangkan.

“Pelajar yang mempunyai ta­hap autonomi yang rendah serta kesulitan kewangan sukar untuk menumpukan perhatian untuk belajar melalui pembelajaran jarak jauh.

“Ramai kanak-kanak dan remaja mengatakan bahawa mereka lebih suka belajar di sekolah daripada di rumah kerana di sana mereka dapat bertemu dengan rakan-rakan.

“Mereka boleh bertanya kepada guru setiap kali mereka tidak memahami topik atau memerlukan penjelasan lebih lanjut mengenai sebarang pelajaran.

“Belajar melalui platform dalam talian di rumah menimbulkan beberapa cabaran, membuat mereka merasa seperti ketinggalan dalam pendidikan mereka,” katanya.

DR. REZKI PERDANI SAWAI

Tambah Dr. Rezki, sistem pendidikan negara didasarkan pada corak yang sangat khusus selama beberapa dekad, maka perubahan drastik seperti PdPR menunjukkan bagaimana sistem sedia ada tidak dilengkapi dengan kaedah pembelajaran yang diperlukan dan mengikut tren semasa.

“Pembelajaran anak-anak sering terganggu dan ibu bapa perlu benar-benar prihatin dengan keadaan psikologi anak-anak dan bukan mengambil kesempatan ke atas anak-anak semasa pandemik.

“Ada ibu bapa yang minta anak-anak untuk sama-sama menggalas tanggungjawab mencari nafkah, maka dengan pembukaan sekolah, anak-anak akan dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada pembelajaran mereka.

“Mereka juga tidak perlu risau tentang pencapaian akademik kerana keberadaan guru dan rakan-rakan yang boleh membantu serta persekitaran sekolah yang lebih menggalakkan dan fokus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya