Ascend Money unikorn teknologi kewangan pertama Thailand - Utusan Malaysia

Ascend Money unikorn teknologi kewangan pertama Thailand

SOKONGAN dana daripada Ant Group membantu kewujudan syarikat unikorn teknologi di Thailand. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ascend Money menjadi syarikat unikorn teknologi kewangan pertama Thailand selepas mencapai penilaian AS$1.5 bilion (RM6.28 bilion) melalui pusingan pendanaan terbaharunya.

Dalam pusingan pendanaan yang meraih dana AS$150 juta (RM627.67 juta) tersebut, sokongan sedia ada daripada Ant Group Co. milik Jack Ma dan Charoen Pokphand Group (CP Group) terhadap syarikat pemula itu turut disertai firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), Bow Wave Capital Management LP.

Menurut Ascend Money, modal baharu yang diterima akan digunakan untuk menaik taraf aplikasi pembayaran mudah alihnya, TrueMoney Wallet dan mengembangkan perkhidmatan kewangan digitalnya di seluruh Asia Tenggara.

Thailand yang merupakan ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara kini dalam proses penggunaan dompet mudah alih secara besar-besaran.

TrueMoney ketika ini menjadi aplikasi paling popular dengan 53 peratus pegangan pasaran dalam negara tersebut, menurut laporan Dompet Mudah Alih 2021 oleh syarikat teknologi kewangan berpangkalan di London, Boku Inc.

Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengarah Ascend Money, Suphachai Chearavanont berkata, kejayaan syarikat itu sebagai bukti kemampuan dan kekuatan ekosistem Thailand dalam menyokong firma serta syarikat pemula teknologi kewangan tempatan untuk berkembang ke luar negara.

Namun, persaingan untuk Ascend Money kini semakin ketat daripada syarikat seperti Rabbit Line Pay yang memanfaatkan populariti aplikasi perbualan Line dan kerjasama bersama kad transit Rabbit.

Institusi kewangan Thailand juga sedang berusaha berkembang ke rantau Asia Tenggara yang lebih luas dengan pemiutang terbesarnya berdasarkan nilai pasaran, Siam Commercial Bank Pcl. merancang untuk mengubah perniagaannya dan menambah pelaburan dalam teknologi kewangan untuk menjadi peneraju pasaran dalam rantau tersebut.

Presiden Bersama Ascend Money, Tanyapong Thamavaranukupt berkata, syarikat itu menyasarkan untuk memiliki 35 juta pengguna atau separuh populasi Thailand menjelang 2023, berbanding 18 juta yang dimiliki ketika ini.

“Kami mahu lebih banyak persaingan dalam industri,” katanya dalam satu temu bual video.

Ascend Money ketika ini beroperasi di enam negara iaitu Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Jumlah bayaran keseluruhannya sebanyak AS$14 bilion (RM58.58 bilion) pada 2020, dengan Thailand sebagai peneraju pertumbuhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya