TVET lahirkan tenaga mahir negara  - Utusan Malaysia

TVET lahirkan tenaga mahir negara 

MANSOR Othman (dua, kanan)melihat peralatan dihasilkan oleh pelajar-pelajar yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mempersiapkan generasi muda memasuki alam pekerjaan, antaranya pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

TVET  merupakan pendekatan pembelajaran yang mempersiapkan diri seseorang pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang sangat berkaitan dengan pekerjaan yang bakal diceburi.

Menurut Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) TVET merupakan proses pendidikan selain pendidikan umum yang melibatkan pembelajaran dalam bidang berkaitan teknologi dan sains, latihan kemahiran praktikal, serta sikap, pemahaman dan pengetahuan tentang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi dan kehidupan sosial.

Di Malaysia, pelaksanaan TVET sangat luas dan boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, TVET Pra Pekerjaan iaitu menyediakan pelajar dengan kelayakan dan kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan. Kedua, TVET dalam Pekerjaan yang bermaksud untuk menyediakan pendidikan dan latihan melalui program latihan semula (re-skilling) dan program peningkatan kemahiran (up-skilling) dan ketiga, Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan menyediakan latihan kemahiran untuk kumpulan sasar dengan membangunkan bakat dan menjana pendapatan.

Kumpulan sasar ini terdiri daripada industri, komuniti, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, TVET menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

Ia dapat dilihat daripada peningkatan bilangan institusi TVET yang ditubuhkan bermula dari Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, daya saing ekonomi negara dalam kalangan negara ASEAN, bergantung kepada keupayaan tenaga kerja yang diterajui oleh belia negara, terutamanya dalam era digital.

KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET

Tambahnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET adalah cemerlang, iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan untuk tiga tahun berturut-turut (melebihi 90 peratus) bermula dari 2017 hingga 2019.

“Antara faktor penyumbang kejayaan ini adalah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik bersama pihak industri dan agensi yang mana telah melonjakkan permintaan graduan TVET melalui program-program seperti Structured Internship (SIP), Reskilling, Upskilling & Crossskilling dan Finishing School,” katanya.

TVET turut diiktiraf di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sebagai salah satu pembolehdaya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif.

Menjelang 2030, kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi masa hadapan dan 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki aliran TVET. Ia bertujuan mengurangkan masalah ketidakpadanan kemahiran dan kebergantungan kepada buruh asing.

Untuk itu, usaha mengarusperdanakan TVET perlu diberi penekanan bagi memastikan ia sentiasa relevan dahulu, kini dan pada masa hadapan. Apabila TVET diperkasa, ia akan menarik lebih ramai belia memilih aliran TVET sebagai laluan pembelajaran dan kerjaya. Selain bekerja, mereka juga boleh berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Justeru, TVET bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, bahkan mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu yang akan memanfaatkan semua pihak.

GRADUAN TVET BERJAYA

TVET hakikatnya melahirkan ramai graduan yang berjaya dalam bidang diceburi.

Mohmd Zaidi Mohmd Souade, pengasas Pakargearbox.com yang juga pemilik Pusat Servis JV Autolube Sdn. Bhd merupakan antara graduan TVET yang berjaya. Jiwa bagi individu TVET adalah kreatif, bermula dari hatinya yang ingin membuat sesuatu kemudian menggunakan minda dan kerja tangan untuk menghasilkan penciptaan tersebut. Gandingan tiga ciri peribadi individu TVET ialah “hearts-on”, “heads-on” dan “hands-on” .

MOHMD Zaidi Mohmd Souade berkongsi ilmu dan latihan teknikal
bersama pengusaha bengkel dalam kursus di akademi beliau.

Industri automotif di Malaysia semakin berkembang saban hari dan berdaya saing walaupun dunia kini berhadapan dengan pandemik Covid-19.  Peningkatan jumlah kenderaan yang berada di jalan raya dan kekerapan dalam penggunaan kenderaan oleh pengguna untuk aktiviti seharian seperti ke tempat kerja sudah pasti memerlukan penyelenggaraan berkala. Kerja-kerja penyelenggaraan ini amat penting bagi menjamin keselamatan nyawa pemandu dan penumpang selain memastikan keselesaan di sepanjang perjalanan agar selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Ini diakui sendiri oleh Mohmd Zaidi.  Dunia automotif bukanlah suatu yang asing buat dirinya kerana beliau juga merupakan anak kepada pengusaha bengkel kereta dan ia telah membuatkan beliau cukup mahir dalam perihal berkaitan penyelenggaraan kenderaan kerana telah didedahkan dengan bidang itu sejak kecil lagi.

Beliau mula menerima pendidikan formal dalam bidang automotif ketika menuntut di Sekolah Vokasional Kajang sebelum melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi dalam Sijil Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di Politeknik Ungku Omar (PUO). Tidak terhenti di situ, beliau terus menimba ilmu dengan menyambung pengajian di peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Selain itu, beliau mengambil inisiatif untuk mendalami bidang automotive transmission secara dalam talian bersama Pofesor John Kelly dari Weber State University.

Minat yang mendalam terhadap bidang automotif telah mendorong alumni PUO ini membuka bengkel berbekalkan kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang pengkhususan auto transmisi sejak 10 tahun lalu. Bidang automotif merupakan satu daripada cabang ilmu Technical and Vocational Education and Training (TVET).

Ketika menuntut pengajian selama empat semester (dua tahun) di politeknik, para pensyarah yang berpengalaman luas telah berkongsi kepakaran berkaitan dengan bidang automotif. Antara kursus-kursus yang ditawarkan antaranya Teknologi Automotif, Amalan Bengkel Automotif, Enjin Pembakaran Dalam (Internal Combustion Engine), Bengkel Pengurusan Servis, Hidraulik Mudah Alih (Mobile Hydraulic), Dinamik Kenderaan (Vehicle Dynamics), Kawalan Kualiti dan Elektrik & Elektronik Automotif selain kursus-kursus asas yang ditawarkan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Berdasarkan pengamatannya sepanjang menceburi bidang ini, beliau mendapati tidak ramai yang berminat dengan kerja-kerja baik pulih transmisi kenderaan. Antara sebab utamanya adalah ilmu pengendalian transmisi lebih terperinci dan agak rumit. Berbeza dengan bidang enjin, model dan fungsi transmisi adalah lebih pelbagai.

TEKNOLOGI KOTAK GEAR

Teknologi kotak gear kenderaan sering berubah mengikut peredaran. Sistem yang digunakan sentiasa diperbaharui, contohnya transmisi boleh laras berterusan (CVT) dan terbaharu adalah sistem hibrid. Justeru, kesabaran dalam mempelajari kotak gear amat diperlukan sekiranya berminat untuk terlibat dalam bidang tersebut. Perkembangan semasa memperlihatkan pertumbuhan bengkel membaiki kenderaan yang semakin ketara dan berdekatan antara satu sama lain. Hanya kemahiran dan kepakaran seseorang mekanik itu yang membezakan antara satu bengkel dengan bengkel yang lain.

Ilmu yang diperoleh ketika menjadi mahasiswa di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO telah dipraktikkan semasa beliau berada di alam pekerjaan khususnya dalam sistem hidraulik. Pada masa yang sama, dengan kemahiran yang diperolehi itu juga membantu dalam proses Penyelidikan dan Pembangunan untuk menghasilkan produk automotif yang baharu. Mohmd Zaidi mengusahakan bengkel di bawah syarikat JV Autolube Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, Shah Alam. Bengkel tersebut telah diusahakan secara bersendirian sejak 2005 dan kini mempunyai 30 orang pekerja mahir.

JV Autolube melangkah maju setapak lagi dalam bidang automotif dengan mengeluarkan produk-produk automotif seperti minyak pelincir, minyak tambahan perawat enjin dan transmisi di bawah jenama JVAUTOLUBE. Sehingga hari ini, hampir 10 produk di bawah keluaran mereka iaitu JV Transmission Treatment, JV Engine Treatment,  JV Engine Carbon Detox, JV  Fuel Injector Treatment, JV Engine Flush dan JV Carbon Cleaner dan minyak pelincir JV Autolube Semi Synthetic dan Nano Fully Synthetic.

JV Auto Lube Transmission Treatment merupakan antara produk yang terlaris di pasaran berikutan produk ini berasaskan bio oil Nano Teknologi.  Ia berfungsi membantu melembutkan semula getah yang terdapat dalam kotak gear. Produk ini telah menerima beberapa anugerah, antaranya Asia Automotive Award 2019 dalam kategori pelinciran pada 2019 dan ‘Best Brand 2019’ di ‘Top 100 Influencers Star Award Malaysia’. Pada tahun berikutnya, JV Autolube juga telah dianugerahkan pencapaian dalam ‘Made For The World’ Excellence Award 2020. Sebelum dipasarkan secara komersial, JV Auto Lube Transmission Treatment telah menjalani ujian makmal selama tiga tahun bagi memastikan kualitinya berada pada tahap tertinggi.

Setelah lima tahun di pasaran, JV Auto Lube Transmission Treatment semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna. Antara maklum balas yang diterima ialah penggunaan produk ini dapat mengurangkan kos dalam penjagaan transmisi.

KONGSI ILMU, KEMAHIRAN

Rentetan itu, Mohmd Zaidi telah mengambil inisiatif dengan menjadi tenaga pengajar dalam menyampaikan ilmu baik pulih transmisi yang terdiri daripada para mekanik dan pemilik-pemilik bengkel berkaitan. Beliau berbesar hati untuk berkongsi ilmu tersebut kerana cabaran bidang ini yang sentiasa berubah dan mengikut peredaran masa.

JV Autolube turut dijadikan pusat pembelajaran dan kursus khas berkaitan transmisi automatik kepada individu yang berminat. Selain mempelajari ilmu mengenai sistem transmisi, pengusaha bengkel juga boleh menjana pendapatan tambahan dengan menjadi wakil jualan produk keluaran syarikat itu. Setakat ini, JV Autolube telah berkongsi ilmu dan membimbing lebih 300 pengusaha bengkel di seluruh negara. Lebih membanggakan, sebuah akademi pembelajaran transmisi sedang diusahakan dan akan dibangunkan bagi merealisasikan cita-cita beliau melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri ini.

Mohmd Zaidi mengakui lumrah dalam perniagaan pasti ada pasang surut dan perit getir yang ditempuhi sebelum mencapai ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Kos operasi dan alat ganti yang tinggi pernah menjadi antara punca beliau terpaksa menutup perniagaan bengkelnya. Namun, itu tidak menjadi penghalang untuk beliau terus bangkit sehingga hari ini. Kegagalan ini terus menjadi `guru’ yang amat berguna untuk beliau mencipta kejayaan hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya