Pelajar sifatkan empower ECER bantu tingkatkan prestasi - Utusan Malaysia

Pelajar sifatkan empower ECER bantu tingkatkan prestasi

JUNIZA ELLYANA A/P TEO SEA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Segala cabaran ditempuhi demi mengejar cita-cita biarpun terpaksa menempuh pelbagai kesukaran terutama ketika penularan Covid-19.

Malah, peluang yang ada untuk mengikuti program akademik empower Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) digunakan sebaik mungkin oleh rata-rata pelajar yang merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).

NUR SYUHAIDA MOHD. HUSNI

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh, Kemaman Nur Syuhaida Mohd. Husni, dia pernah hilang kepercayaan diri kerana tidak mampu mengikuti PdPR disebabkan tinggal di kawasan pedalaman.

“Tinggal di kawasan pedalaman merupakan cabaran besar bagi saya kerana sering berlaku gangguan internet sehingga sukar mengikuti kelas dalam talian.

“Kesukaran mendapatkan buku rujukan juga menjadi cabaran besar buat saya untuk mengulangkaji pelajaran. Jadi, dengan adanya  empower ECER banyak membantu saya mencapai keputusan baik ini iaitu 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar SMK Pulau Serai Dungun, Nor Suriani Azmi pula berkata, banyak kelebihan diperoleh menerusi program empower ECER terutama mengetahui teknik menjawab soalan dengan mudah sekali gus memperoleh markah tinggi dalam peperiksaan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berjaya memperoleh 7A dalam SPM 2020 dan kini melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam jurusan Diploma Kulinari.

“Saya bercita-cita menjadi chef dan ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang masakan. Harapannya, agar boleh mencapai cita-cita dan membanggakan ibu bapa saya.

“Walau apa pun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan empower ECER kerana melaksanakan program ini. Ia sangat membantu pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Bagi pelajar Orang Asli SMK Rompin, Juniza Ellyana a/p Teo Sea, dia tidak ketinggalan mengikuti program empower ECER hingga berjaya mencatatkan keputusan cemerlang.

Dia yang memperoleh 9A dalam SPM yang lalu berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Asasi Sains Fizikal.

“Pendorong utama kejayaan ialah kata-kata ibu bapa saya iaitu ‘awak berjaya untuk diri sendiri.’ Ia membakar semangat saya untuk terus berusaha dan berjaya.

“Saya juga mempunyai tips sendiri iaitu membuat latihan lebih banyak berbanding membaca buku teks atau rujukan kerana ketika membuat latihan saya dapat mengesan masalah dan mencari jalan menyelesaikannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN