PETALING JAYA: Pembangunan di kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) akan berpaksikan kepada Kerangka Pembangunan Bandar Mampan (SUDF) untuk menyokong transformasi pembangunan alam sekitar, ekonomi dan tenaga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perubahan iklim berpotensi memberi ancaman kepada pembangunan wilayah berkenaan dan harus ditangani segera melalui SUDF.
Kata beliau, negara-negara terlibat akan mengalami kerugian yang besar sekiranya ia tidak ditangani segera.
“Justeru, kolaborasi antara ahli IMT-GT juga perlu merangka pelan pemulihan pasca Covid-19 termasuk pembukaan sektor yang teruk terkesan, khususnya pelancongan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau sebelum itu telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri IMT-GT Kali Ke-27 secara maya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto; Menteri Kewangan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith; Naib Presiden Bank Pembangunan Asia (Asia Tenggara, Asia Timur dan Pasifik) Ahmed M. Saeed dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.
Jelas Mustapa, mesyuarat kali ini membincangkan pelan pasca Covid-19 IMT-GT yang akan dilaksanakan melalui Rangka Tindakan Pelaksanaan (IB) 2022-2026 yang memberikan tumpuan kepada lima perkara iaitu:
* Pendekatan integrasi wilayah berasaskan koridor.
* Peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
* Memperkasakan institusi di kawasan IMT-GT dalam melaksanakan pelan
yang dietapkan.
* Pertumbuhan yang inklusif.
* Memberi lebih tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi hijau dan ekonomi
biru.
Beliau berkata, gabungan 32 negeri dan wilayah daripada tiga negara anggota IMT-GT dengan populasi 85.1 juta mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi dengan pasaran yang
amat luas.
Lapan negeri iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor mendapat manfaat daripada program-program yang dilaksanakan IMT-GT.
Mesyuarat turut dihadiri pegawai-pegawai kanan IMT-GT serta wakil daripada kementerian-kementerian dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat bertujuan mencari kaedah terbaik untuk menyatukan subwilayah di ketiga-tiga negara dalam pembangunan sosioekonomi, perniagaan dan jalinan perhubungan.
Mesyuarat Menteri IMT-GT kali ke-28 akan diadakan di Thailand pada hujung tahun depan.- UTUSAN