Hana Raja dilantik Pengarah Urusan Cisco Malaysia  - Utusan Malaysia

Hana Raja dilantik Pengarah Urusan Cisco Malaysia 

HANA RAJA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SHAFIQAH SHUKOR

PETALING JAYA: Peneraju teknologi dunia, Cisco, telah melantik Hana Raja sebagai Pengarah Urusan kepada perniagaannya di Malaysia.

Dengan pelantikan itu, Hana akan memberi tumpuan kepada usaha transformasi digital pelanggan di seluruh negara selain menjalinkan kerjasama erat bersama rakan ekosistem Cisco.

Menurut syarikat itu, pelantikan tersebut secara tidak langsung menggantikan tugas Albert Chai yang meninggalkan Cisco setelah berkhidmat hampir 12 tahun.

Hana dalam satu kenyataan berkata, beliau meletakkan sasaran untuk mencipta pertumbuhan jangka panjang yang mampan bagi Cisco Malaysia.

“Dengan perubahan tahap teknologi di negara ini, kami mempunyai peluang untuk mengubah masyarakat dalam aspek teknologi dan perhubungan rakan kongsi, kolaborasi dan inovasi.

“Saya berharap dapat membawa Cisco dalam usaha memajukan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi digital yang terjamin dan dipercayai di mana perniagaan, pelabur dan masyarakat dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi dan kelebihan teknologi,” katanya.

Hana mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam bidang perancangan strategik, pengurusan perniagaan dan berkepemimpinan dalam pelbagai sektor.

Sebelum ini, beliau telah menerajui Cisco’s Strategy and Operations for ASEAN sejak dua tahun lalu ketika berpusat di Kuala Lumpur.

Selain itu, Hana telah memainkan peranannya dalam mendorong pertumbuhan Cisco di seluruh wilayah dalam tempoh beberapa tahun terdahulu.

Peranan tersebut dijayakan menerusi pendekatan berstruktur dalam aspek pembangunan strategi, kecemerlangan komersial, peningkatan prestasi dan perubahan tingkah laku.

Mengulas tentang pelantikan tersebut, Presiden Cisco ASEAN, Naveen Menon memberitahu, pelantikan Hana adalah seiring dengan komitmen pihaknya dalam usaha mengekalkan bakat terbaik dalam industri selain melahirkan pasukan kepimpinan yang cemerlang.

“Di samping pengalamannya di Cisco dan pasaran ASEAN, dia akan membawa aura sinergi baharu yang mengukuhkan lagi visi kami bagi mengangkat matlamat Ekonomi Digital Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya