Dengan berbekalkan modal awal RM500, kira-kira 22 tahun lalu, Razuna Kiprawi memulakan perniagaan Belacan Palas di Bintulu, Sarawak.
Anak Nelayan Vaie Bintulu yang kini berusia 51 tahun itu tidak pernah malu berniaga kerana sejak kecil telah didedahkan dengan dunia keusahawanan ketika menjual hasil tangkapan ayahnya ke sekeliling kampung menaiki basikal.
Ia menjadi pendorong usahawan belacan pertama di Bintulu itu untuk terus bangkit memperkenalkan produk hasil tangkapan laut Bintulu.
Sedar ilmu perniagaan amat penting untuk memasarkan produknya dengan lebih meluas, pengasas Monanie Family Enterprise Bintulu itu mengambil inisiatif menyertai Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) pada 2006.
Razuna berkata, sejak menyertai AIM, beliau berpeluang mengikuti pelbagai kursus keusahawanan sehingga ke Sabah untuk melihat bagaimana penghasilan produk serta kaedah pembungkusan yang digunakan.
“Tanpa jenama dan alat pemasaran seperti pelekat, produk saya kurang dikenali mengakibatkan jualan kurang memberangsangkan.
“Kursus yang disediakan AIM membantu saya lebih memahami cara memasarkan produk dengan lebih berkesan sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam kenyataan, baru-baru ini.
Hasilnya, Razuna kini berjaya mengeluarkan 19 produk berasaskan hasil tangkapan laut antaranya keropok keping ikan parang, keropok keping ikan tenggiri, keropok lekor keping, keropok lekor basah, belacan goreng, udang geragau kering, ikan salai dan ikan sate.
Beliau juga mampu melangkah lebih jauh dengan mengkomersialkan produk belacan sehingga menghasilkan 13 produk berasaskan belacan termasuk belacan kapsul, belacan blok, serbuk belacan, keropok berperisa belacan, ikan sate berperisa belacan dan ikan berperisa belacan.
Ujar penerima Anugerah Wanita Harapan, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Bintulu 2019 dan Anugerah Usahawanita Persatuan Nelayan Kawasan Bintulu 2018 itu, usahawan AIM perlu menggunakan modal pinjaman RM500 dengan betul dan memastikan ia mendatangkan hasil sewajarnya.
“Percayalah, dengan itu kita mungkin dapat mengubah status keluarga dan membantu anak-anak dalam pelajaran mereka di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Setelah melalui jatuh bangun sebagai usahawan, beliau mengakui pandemik Covid-19 merupakan cabaran terbesar yang pernah dilalui.
“Sebagai usahawan, kita jangan berputus asa dan cuba mengikut keadaan semasa dengan beralih kepada platform media sosial untuk terus memasarkan produk.
“Walau apa berlaku, kita perlu mencari kaedah terbaik bagi memastikan produk kita sampai kepada pengguna. Jatuh dan bangun dalam perniagaan adalah lumrah kehidupan seorang usahawan,” tambahnya.
RAZUNA KIPRAWI
» Lokasi perniagaan: Kampung Assyarakirin Fasa 2, Lot 2533 Jalan Mawar Kuning Bintulu, Sarawak.
» No Tel: 011 – 14028670
» Facebook: [email protected] – UTUSAN