37,000 PKS terima pembiayaan BNM bernilai lebih RM15 bilion - Utusan Malaysia

37,000 PKS terima pembiayaan BNM bernilai lebih RM15 bilion

1mdb
MPC memutuskan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas setelah mengambil kira prospek pertumbuhan dalam negara yang terus berdaya tahan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 37,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima pembiayaan bernilai lebih RM15 billion daripada Bank Negara Malaysia (BNM) melalui program Dana BNM untuk PKS.

Penolong Gabenor BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, BNM juga telah menambah peruntukan tersebut sebanyak RM2 bilion, menjadikan jumlah dana tersedia pada akhir bulan Jun sebanyak RM8.6 bilion.

Dalam ucapannya sempena Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak yang diadakan secara maya semalam, Abu Hassan menegaskan, pakej bantuan dan inisiatif yang diumumkan kerajaan bertujuan untuk memberikan suntikan kepada ekonomi negara bagi mensejahterakan rakyat.

Walau bagaimanapun, kata beliau, setiap individu juga berperanan membuat perancangan kewangan yang mampan untuk kesejahteraan hidup.

“Sehubungan itu, kempen yang julung kali diadakan secara maya ini merupakan kesinambungan kepada usaha BNM dan rakan kolaborasi dalam meningkatkan kesedaran secara menyeluruh khususnya kepada rakyat Sarawak dengan memberi penekanan kepada agenda perlindungan, pendidikan pengguna dan rangkuman kewangan.

“Pastinya kita sebagai individu ingin menjalani kehidupan bermakna, selesa dan stabil serta bebas daripada masalah kewangan dan berupaya menghadapi masalah kewangan yang tidak dijangka tanpa mengalami beban kewangan,” katanya.

Menurut Abu Hassan, terdapat beberapa jenis bantuan dan sokongan yang disediakan oleh BNM, institusi kewangan dan Agensi Kaunseling dan Perkhidmatan Kredit (AKPK) yang boleh dimanfaatkan orang ramai untuk menyusun perancangan kewangan.

Kata beliau, setiap individu disarankan untuk menetapkan sasaran kewangan pada masa hadapan, contohnya untuk persaraan.

“Sasaran kewangan ini adalah penting kerana ia akan mempengaruhi tabiat kewangan seharian baik dari segi penjanaan pendapatan mehupun corak perbelanjaan.

“Sasaran kewangan ini juga dapat membantu kita membuat pilihan produk kewangan yang bersesuaian, contohnya produk deposit atau simpanan, pelaburan, perlindungan dan pinjaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya