KUALA TERENGGANU: Kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), kini tidak ada lagi alasan untuk memotong gaji pekerja mereka.
Ini berikutan keputusan KPM untuk membuat pembayaran penuh kontrak perkhidmatan KBK, yang pastinya membolehkan kontraktor terus survive dalam tempoh sukar ini.
Pemilik Aizwa Global, Mohd. Aizat Mohd. Amdan, 36, berkata, keputusan itu membolehkan perniagaan yang diusahakan lebih 10 tahun lalu terus bernafas di samping dapat menjamin masa depan kesemua 32 pekerjanya.
Katanya, perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) membabitkan sembilan institusi pendidikan di sekitar Marang yang dikendalikan sejak awal 2019 itu sepatutnya berakhir pada Disember depan.
“Sekurang-kurangnya dapatlah membantu saya memulihkan semula pendapatan syarikat manakala pekerja boleh terus bekerja untuk menyara kehidupan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
KPM sebelum ini memaklumkan, bagi perkhidmatan KBK, pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya sebagaimana dinyatakan dalam kontrak. Oleh itu, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK.
Menurut Mohd. Aizat, antara sembilan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, SK Bukit Gasing, SK Kelulut, SK Pulau Kerengga, SK Marang, Sekolah Menengah (SM) Seberang Marang dan Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) Marang.
Katanya, ketika ini, bayaran gaji pekerja dilakukan berdasarkan hari bekerja berikutan penutupan operasi sekolah sepanjang tempoh PKP. Namun, masalah itu dijangka selesai berikutan keputusan KPM berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Aizat menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan sekolah di negeri-negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka tidak lama lagi. – UTUSAN