TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah mengorak langkah menjadi peneraju peralihan industri tenaga negara melalui Program Utiliti Pintar menjelang tahun 2025 (Smart Utility 2025), bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan yang menginginkan perkhidmatan stabil dan berdaya harap serta mempunyai nilai tambah.
Program Utiliti Pintar (PUP) ini menjadi serampang dua mata yang terkandung dalam pemodenan infrastruktur Rangkaian Pembahagian TNB dengan manfaat kepada rakyat dan negara.
Pertama, ia menjamin produktiviti, kecekapan dan daya harap rangkaian bekalan elektrik untuk dinikmati pelanggan dan kedua, merangsang kegiatan ekonomi sekali gus menyuntik kepada pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi susulan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, ketika berkongsi mengenai intipati program pemodenan ini menyatakan, tujuh daripada 12 elemen PUP 2025 sedang giat dilaksanakan.
Antaranya Advanced Metering Infrastructure (AMI) iaitu meter pintar, Distribution Automation (DA), Aplikasi Mobiliti, Geographic Information System (GIS), Advanced Distribution Management System (ADMS) dan pemasangan lampu jalan LED.
Semua eleman ini mempunyai kesan titisan ke bawah (trickle down e ect) kepada syarikat-syarikat tempatan dengan membuka peluang pelaburan pengilang dan pembekal. Sebagai contoh, melalui projek pemetaan GIS, TNB telah membangunkan 25 syarikat dengan keupayaan baharu dalam teknologi pemetaan data untuk aset-aset TNB.
Menurut Wan Nazmy, lebih 10,400 peluang pekerjaan dapat diwujudkan merangkumi pelbagai inisiatif seperti pemasangan meter pintar, pemetaan geogra k serta kerja-kerja penyelenggaraan dan sebagainya.
Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sokongan akan diberikan melalui perolehan untuk projekprojek yang dilakukan. Antara 30 hingga 50 peratus produk atau perkakasan yang diperlukan untuk pelaksanaan projek akan diperolehi melalui PKS tempatan.
“Sebanyak 503 penyertaan daripada vendor dan pembekal Bumiputera juga akan terlibat dalam program peningkatan kemahiran bagi memenuhi keperluan dan perubahan semasa industri bekalan elektrik,” jelas beliau.
Ia mendorong pelbagai kemahiran digital, analitik, internet segala benda (IoT) dan reka bentuk sistem masa depan seiring matlamat negara menuju aspirasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dengan membangunkan keupayaan, kemahiran dan pembekal.
Ini bermakna TNB giat mengaplikasikan teknologi terkini, berinovasi dalam proses kerja dalam meningkatkan nilai produk kepada pelanggan, menggerak dan membangunkan aset- aset penting, sistem kawalan, sistem senggaraan dan sebagainya.
Semua insiatif ini memperkasakan pengalaman pelanggan dengan memenuhi harapan pelanggan terhadap daya harap sistem bekalan elektrik, wawasan tenaga hijau, di samping mengekalkan tarif pada tahap yang sesuai.
Tiga dimensi utama Program Utiliti Pintar:
1. Memenangi Hati Pelanggan
Pengguna akan menikmati tarif yang sewajarnya selain berpeluang menguruskan penggunaan tenaga dengan lebih baik, seperti keupayaan untuk memilih sumber tenaga masa hadapan dan waktu penggunaan (Time of Use) dengan tarif yang berbeza. Pengalaman pengguna akan terus disokong oleh interaksi mudah melalui pelbagai saluran seperti aplikasi mudah alih, media sosial, laman web dan pusat panggilan.
2. Grid pintar masa hadapan
Aspek ini penting untuk memastikan rangkaian pembahagian TNB kekal berdaya harap, mudah pulih daripada gangguan dan diautomasikan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan masa hadapan, selaras dengan evolusi peralihan tenaga. Semua ini dilakukan dengan mengamalkan penggunaan teknologi pintar dan automasi.
3. Pembangunan ekonomi
Merangsang pertumbuhan ekonomi negara, memajukan sektor tenaga hijau dan memesatkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Pelbagai peluang pekerjaan berkaitan industri tenaga akan diwujudkan. Ia menyokong agenda nasional untuk bergerak ke arah ekonomi rendah karbon dan ekonomi digital, di samping memacu aspirasi IR 4.0
PROGRAM UTILITI PINTAR
* Advanced Metering Infrastructure (AMI)
* Aplikasi Mobiliti
* Geographic Information System (GIS)
* Distribution Automation (DA)
* Advanced Distribution Management System (ADMS)
* Volt-Var Optimisation (VVO)
* Advanced Asset Analytics (AAA)
* Battery Energy Storage System (BESS)
* Smart Energy Management Infrastructure (SEMI)
* Pemasangan lampu jalan LED
* Mini Hidro
* Infrastruktur kenderaan elektrik – UTUSAN