Seni budaya, JKKN dekati masyarakat - Utusan Malaysia

Seni budaya, JKKN dekati masyarakat

MESRAN MOHD YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 nyata memberi kesan sangat besar sekali gus menjejaskan seluruh sistem rantaian bermula dari peringkat bawahan hingga ke peringkat paling atas.

Namun, setelah hampir dua tahun negara bergelut dengan wabak berkenaan, ini bukan lagi masa bersedih sebaliknya anggap ia sebagai pemangkin untuk terus mara ke hadapan walaupun situasi semakin mencabar.

Bagi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), mereka sedar bahawa JKKN tidak boleh lagi terus berada dalam zon selesa sebaliknya memikirkan strategi baharu untuk  memastikan seni dan budaya berada dekat dengan masyarakat walaupun pandemik terus berleluasa.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, dengan peruntukan bernilai RM2.7 juta untuk program yang akan diadakan tahun ini, pihaknya menganjurkan pertandingan Kuiz Seni Budaya, Eksplorasi Budaya, Pertandingan Video Pendek Seni Budaya dan Nilai-Nilai Murni, Pertandingan Battle of the Band dan Dondang Sayang bertemakan Tak Nak Rasuah  merupakan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, beberapa Program Pelancongan Budaya yang telah dan akan diadakan di setiap negeri termasuk Iftar @ Ramadan Online, Pesta Angin Timur Perlis 2021 @ Online, Festival Kesenian Rakyat Kelate 2021 @ Online, Festival Kota Selatan 2021 @ Online, Festival Permainan Tradisional Malaysia 2021 @ Online, Rhythm of Kinabalu dan Festival Gendang Sarawak.

“Penganjuran program ini disebabkan masyarakat telah beralih ke arah digital dan telefon canggih sekali gus dapat memenangi hadiah wang tunai melalui program yang dianjurkan.

Sebab itu JKKN lebih menekankan medium seperti aplikasi Tik Tok, YouTube, Instagram TV, Twitter dan Facebook dengan kreativiti sendiri untuk menarik minat masyarakat mendekati  seni budaya.

“Ini juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pengiat seni untuk mendapat hadiah wang tunai, menghilangkan kebosanan sepanjang berada di rumah dan membantu mereka menjana pendapatan sampingan bagi mengurangkan beban sepanjang PKP,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, JKKN juga menganjurkan program berbentuk bantuan bagi mengurangkan beban golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan tawaran Insentif Seni  Budaya kepada penggiat, persatuan, kelab dan syarikat seni di seluruh negara.

Bantuan itu diberikan dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, kemudahan fasiliti, khidmat nasihat dan kepakaran serta promosi dengan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk tahun ini.

Jelasnya, insentif berkenaan merupakan penjenamaan beberapa bentuk bantuan dan perkhidmatan sedia ada yang disediakan JKKN kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya bagi menambah keupayaan mereka melaksanakan program dalam bidang tersebut.

“Dengan ini, penggiat seni dapat menjalankan aktiviti kesenian dan persembahan di mana-mana premis seni budaya disamping dapat memberi pendapatan kepada mereka melalui  aktiviti yang dijalankan, menyemarakkan dan merancakkan kembali aktiviti seni budaya,” katanya.

Untuk rekod, JKKN telah melaksanakan program dan aktiviti seni sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lalu.

Sebanyak 266 aktiviti dan program secara dalam talian telah dianjurkan serta berjaya menarik 4,020,792 juta tontonan. Tahun ini pula, JKKN menyasarkan sehingga lima juta tontonan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya