PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$111.1 bilion (RM462.23 biliion) pada 30 Jun lalu.
Menurut bank pusat itu, paras rizab tersebut telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.
“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas BNM, komponen utama rizab antarabangsa itu adalah mata wang asing sebanyak AS$103.3 bilion (RM429.78 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.4 bilion/RM5.82 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.2 bilion/RM4.99 bilion), emas (AS$2.2 bilion/RM9.15 bilion) dan aset rizab lain (AS$3 bilion/RM12.48 bilion).
Aset-aset itu katanya, terdiri daripada emas dan pertukaran mata wang asing dan rizab lain termasuk SDR berjumlah RM461.56 bilion, Kertas Kerajaan Malaysia (RM11.43 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM3.03 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM20.37 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) serta aset-aset lain (RM16.31 bilion).
Tambahnya, modal dan liabiliti pula terdiri daripada modal berbayar sebanyak (RM100 juta), rizab (RM180.67 bilion), mata wang dalam edaran (RM141.15 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM142 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM21.76 bilion), lain-lain deposit (RM9.30 bilion), kertas Bank Negara (RM9.14 bilion), peruntukan SDR (RM7.98 bilion) dan lain-lain RM4.76 bilion). – UTUSAN