PETALING JAYA: Selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), peminjam individu dan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik, boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai esok (7 Julai 2021).
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), peminjam sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS, tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan.
Malah katanya, kelulusan akan diberikan secara automatik.
“Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.
“Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman sesawang bank-bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BNM berkata, peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan.
“Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium.
“Walau bagaimanapun, peminjam dinasihati supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan,” katanya. – UTUSAN