Pemasaran usahasama KOL era digital - Utusan Malaysia

Pemasaran usahasama KOL era digital

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS pandemik yang berlanjutan ini sememangnya memberi kesan terhadap kelestarian ekonomi sejagat. Dengan meningkatnya persaingan pasaran melalui platform secara dalam talian dan berkurangnya kuasa membeli dalam kalangan pelanggan serta pengguna, setiap organisasi perniagaan kini perlu terus berusaha mencari solusi tambahan dalam membina inisiatif yang strategik bagi memperkukuh potensi pasaran.

Atas faktor tersebut, semakin banyak perbincangan dalam kalangan pemasar dan ahli perniagaan sejak kebelakangan ini yang terkait dengan konteks membina usahasama Pemimpin Pendapat Utama (KOL) sebagai salah satu inisiatif memperkukuh kredibiliti dan keyakinan pasaran. Ia juga bertujuan membina kesetiaan jenama dalam kalangan pelanggan bagi merangsang permintaan pasaran yang berterusan dalam mendepani cabaran ekonomi serta krisis pandemik ini.

Bagi sebahagian perniagaan, penglibatan kerjasama dengan KOL dilihat sebagai salah satu inisiatif pilihan yang strategik dalam merealisasikan usaha tersebut. Melalui kepakaran yang diiktiraf dalam sesuatu bidang yang diceburi beserta penglibatan aktif di landasan digital dan pengaruh pengikut yang ramai di media sosial, peranan dan penglibatan KOL dipercayai dapat menyokong usaha berterusan dalam mempertingkatkan kredibiliti jenama serta perniagaan.

Membina kerjasama melalui khidmat KOL merupakan antara strategi dalam segmen Pemasaran Berpengaruh atau Influencer Marketing. Namun terdapat perbezaan dalam kalangan mereka yang dikategorikan sebagai KOL dengan para pempengaruh atau personaliti media sosial yang lain. Sungguhpun begitu, sebahagian besar KOL ialah pempengaruh dalam fokus penglibatan yang lebih khusus terhadap sesuatu industri dan rujukan masyarakat.

Kredibiliti KOL tertumpu kepada kepakaran terhadap jurusan yang diceburi dan mempunyai pengiktirafan kelayakan berdasarkan akademik, industri atau profesional dalam bidang tersebut.

Dalam kata lain, KOL merupakan seorang ahli atau memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang dari aspek pengetahuan, kemampuan mahupun penglibatan kerjaya. Pendapat, tips dan nasihat mereka sering menjadi panduan orang ramai termasuk pengikut di platform digital untuk dimanfaatkan dalam penglibatan tertentu. Terdapat juga KOL yang mempunyai program yang dibangunkan di platform digital mereka serta turut diundang berkongsi perspektif dalam pelbagai segmen di aliran media perdana.

Boleh dikatakan, KOL adalah individu yang dipercayai dan dihormati atas pengetahuan secara mendalam pada bidang tertentu sehingga menarik kepercayaan orang ramai terhadap kredibiliti diri mereka. Sebagai contoh, seorang doktor yang sering berkongsi tips penjagaan kulit kepada pengikut di media sosial menyarankan tentang kebaikan sesebuah jenama produk penjagaan muka mampu membina keyakinan dalam kalangan prospek dan pelanggan bukan sekadar berdasarkan emosi dan pengalaman pengguna, tetapi juga aspek teknikal dan keberadaan produk. Begitu juga dengan personaliti chef yang menyarankan produk masakan, mampu menggalakkan lebih ramai pelanggan berdasarkan portfolio serta penglibatan chef tersebut dalam profesion penyediaan makanan.

KOL diyakini oleh masyarakat dan warga internet atas keaslian profesion mereka di dunia nyata. Saranan mereka tentang kelebihan sesuatu produk atau perkhidmatan pada dasarnya adalah bersandarkan pengetahuan, pengalaman serta etika profesionalisme. KOL kebiasaannya hanya bekerjasama dengan segmen yang relevan dengan niche kepakaran mereka dan setelah terlebih dahulu beroleh kepastian terhadap kredibiliti produk atau perkhidmatan. Ini juga menjadi faktor yang memangkin keyakinan pelanggan atas setiap syor yang diberikan.

Justeru, ia secara tidak langsung meletakkan sesebuah perniagaan yang terlibat untuk lebih komited dalam memastikan mutu produk atau perkhidmatan pada tahap piawaian sepatutnya dalam memenuhi tuntutan pasaran yang tersedia melalui penglibatan kerjasama KOL. 

Keyakinan pelanggan yang terbina bersama kepuasan pengguna mampu meningkatkan lagi potensi penjenamaan untuk bertapak kukuh dan berkembang luas di pasaran dengan mampan.

      

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.

    

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya