PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pelantikan Datuk Mohammed Azlan Hashim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Mohammed Azlan menggantikan Tan Sri Mohd. Bakke Salleh yang meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Julai ini dan dilantik sebagai Pengerusi Petronas baharu.
Mohd. Bakke telah dilantik sebagai Pegerusi Lembaga Pengarah TM pada Mei 2020.
Mohammed Azlan merupakan ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sejak 1 April 2020. Beliau juga ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau turut menjadi Pengerusi di beberapa entiti senaraian awam termasuk D&O Green Technologies Berhad, Marine & General Berhad dan IHH Healthcare Berhad.
Beliau berpengalaman luas dalam sektor korporat, perkhidmatan kewangan dan pelaburan.
Mohammed Azlan pernah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Bumiputra Merchant Bankers Berhad, Pengarah Urusan Amanah Capital Malaysia Berhad dan Pengerusi Eksekutif Bursa Malaysa Berhad.
Kumpulan TM dan Lembaga Pengarahnya mengalu-alukan kedatangan Mohammed Azlan, tokoh korporat yang dihormati dan berpengalaman luas dalam pelaburan serta perkhidmatan kewangan.
“Beliau membawa bersama pandangan meluas industri dan komersial, yang akan mempertingkat dan memperkaya kepakaran keseluruhan Lembaga Pengarah. Kami berharap kepada bimbingan, nasihat dan kepimpinan Mohammed Azlan dalam syarikat meneruskan perjalanan transformasinya serta fasa penciptaan pertumbuhan dan penciptaan nilai yang berikutnya.
“Sebagai pemacu Digital Malaysia, TM komited dalam memainkan peranan untuk menyokong semua segmen pelanggan kami merangkumi kediaman, perniagaan, industri serta sektor awam dengan sambungan, infrastruktur dan penyelesaian digital ke arah pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
TM dan Lembaga Pengarahnya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd. Bakke atas kempimpinan dan sumbangan beliau kepada Kumpulan itu.
“Mohd. Bakke seorang contoh teladan dalam mengamalkan tadbir urus dan integriti serta seorang figura korporat yang disegani, beliau telah membawa pandangan bernas dalam industri dan komersial untuk manfaat Kumpulan TM,” katanya. – UTUSAN