PETALING JAYA: MDC Asia Link Berhad (MALB) melalui anak syarikatnya, MDC Pusrawi menandatangani perjanjian persefahaman dengan SuperBig Capital Berhad (SuperBig) untuk pembinaan rangkaian farmasi bersifat komuniti.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh MALB dan SuperBig, kedua-dua syarikat itu berkata entiti tersebut akan dikenali sebagai Pusrawi-SuperBig Pharmacy Sdn. Bhd. yang tidak hanya memberi khidmat di Hospital Pusrawi malah kepada lebih ramai pelanggan apabila rangkaian farmasinya diwujudkan kelak.
Menurutnya, matlamat mereka adalah untuk menjadikan farmasi tersebut berdiri dengan jenamanya sendiri dalam tempoh tiga tahun.
“Selain itu, Pusrawi-SuperBig jug akan dijadikan anak syarikat kepada mana-mana syarikat induk yang mencapai tawaran awam permulaan (IPO) dahulu.
“Perjanjian ini akan menguatkan komitmen kedua-dua syarikat induk dalam menjamin kelangsungan serta pembangunan farmasi ini melalui pengurusan dan pertanggungjawaban yang lebih jelas dan telus,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MALB, Dr. Aslan Bacho dan Ketua Pegawai Eksekutif SuperBig, Dr. Wan Sazrina Wan Zaid menandatangani perjanjian persefahaman tersebut di ibu pejabat MALB di MDC Kota Damansara, Sunway Giza, Isnin lalu.
Menurut kedua-dua syarikat itu, Dr. Aslan dan Dr. Wan Sazrina turut bertukar pandangan dan pendapat berkenaan keadaan industri perkhidmatan kesihatan ketika ini.
Katanya, antara sebab kerjasama itu dijalankan adalah supaya kedua-dua syarikat dapat memberi sumbangan dengan lebih aktif dan bermakna kepada masyarakat dalam situasi pandemik ketika ini.
“Melalui kewujudan rangkaian farmasi dan kerjasama erat ini, lebih pesakit dan masyarakat dapat diberi khidmat dengan lebih berkesan kelak.
“(Ini dapat) memudahkan mereka mendapat bekalan ubat-ubatan serta barangan penjagaan kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE