PETALING JAYA: Pusat kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) dan NEXEA telah bekerjasama untuk Program Pemecut Korporat 2021 yang akan dijalankan pada September ini hingga Januari 2022 bagi membantu syarikat pemula.
Dengan kerjasama MBAN, MDEC, Amazon Web Services (AWS) dan Cyberview yang disokong oleh Cradel, program itu bertujuan mencari syarikat teknologi pemula yang seterusnya. Ia direka oleh mentor yang pakar dalam bidang itu dan telah memperoleh kejayaan sendiri.
Menurut MaGIC, mentor akan menghubungkan syarikat pemula kepada rangkaian berperingkat Ketua Pegawai Eksekutif di seluruh Malaysia dengan asas pengetahuan dan pengalaman di samping sesi bimbingan yang berdedikasi.
“Terdapat beberapa syarikat yang akan terlibat dalam program yang dianjurkan oleh NEXEA itu tahun ini, seperti Spritzer dan Allianz General Insurance Company Malaysia Berhad.
“Syarikat-syarikat itu terbuka untuk bekerja dengan syarikat pemula yang lain dalam projek perintis, pengesahan idea perniagaan dan pemerolehan yang berpotensi,” katanya dalam kenyataan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Amiruddin Abdul Shukor berkata, kerjasama itu akan mengukuhkan lagi pelbagai program membina syarikat pemulanya seperti Program Pemecut Global (GAP).
“Dengan memberi nilai tambah kepada kitaran pembangunan pertumbuhan syarikat pemula, kami secara efektif akan meningkatkan nilai dan impak bagi para pemula untuk memberi faedahnya kembali kepada ekosistem.
“Bersama-sama MaGIC dan rakan korporat kami dapat menyokong syarikat-syarikat pemula yang akan berada di barisan hadapan transformasi digital sambil menempatkan mereka untuk pertumbuhan eksponensial. Kini, lebih banyak syarikat pemula dapat memperoleh sokongan strategik dan teknikal terbaik di negara,” kata Amiruddin.
Sementara itu, Rakan Pengurus NEXEA, Ben Lim berkata, pihaknya gembira dengan adanya MaGIC sebagai penganjur bersama dalam program tersebut kerana mereka memberikan nilai dan sokongan yang banyak untuk syarikat-syarikat pemula.
Semua syarikat pemula yang mengambil bahagian akan mendapat faedah dan sumber bernilai RM2 juta.
Syarikat pemula yang mengambil bahagian akan mendapat sokongan dan bimbingan berterusan daripada NEXEA dan rakan kongsi mereka. Selain itu, pemula juga akan mendapat peluang mengumpul dana sehingga RM1 juta dari NEXEA dan para pelabur mereka.
Setelah menamatkan program itu, pengenalan kepada syarikat tempatan dan wilayah, modal usaha, pejabat keluarga dan para pelabur juga adalah antara manfaat yang akan diperoleh syarikat-syarikat pemula.
Pemula juga akan dapat menjalinkan hubungan dengan alumni NEXEA untuk menyokong antara satu sama lain. Permohonan untuk program tersebut kini dibuka. – UTUSAN