Kontrak kurang, kontraktor bertambah - Utusan Malaysia

Kontrak kurang, kontraktor bertambah

KERAJAAN perlu memastikan peluang perolehan khusus untuk bumiputera diberikan kepada syarikat bumiputera tulen bagi mengelakkan amalan rasuah dan ali baba terus berleluasa dan menggagalkan agenda bumiputera. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMM WP) menyarankan semua pihak yang terlibat di dalam industri pembinaan bersama-sama bergabung tenaga menyelesaikan masalah kontraktor yang terjejas untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Amran Mohamad berkata, tempoh pandemik yang telah berlarutan selama hampir 500 hari menyebabkan industri pembinaan berhadapan dengan pelbagai masalah. 

Jelasnya, para kontraktor ketika ini melalui cabaran yang hebat seperti kekurangan kontrak kerja di pasaran dan dalam masa sama jumlah kontraktor semakin meningkat daripada sebelum pandemik bermula. 

“Kekurangan pekerja di tapak pembinaan yang majoritinya bukan warga tempatan menambah lagi cabaran pada industri pembinaan kerana ketidakmampuan syarikat untuk membiayai serta menguruskan pekerja-pekerja terbabit. 

“Selain itu, peningkatan kos harga binaan yang terlampau tinggi terus mempengaruhi aliran tunai syarikat yang pastinya akan merugikan kontrak yang sedang beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Virtual Forum Senario Industri Pembinaan Semasa Pandemik Covid-19 yang dianjurkan oleh PKMM WP, baru-baru ini.

Amran menegaskan, para kontraktor turut berdepan cabaran lain antaranya terpaksa beroperasi dengan kapasiti terhad ekoran rantaian bahan bekalan binaan tidak mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Masalah ini akan menyebabkan ramai kontraktor menanggung hutang dan mereka juga terpaksa membuang pekerja tempatan. Ini akan membawa kepada risiko gulung tikar dan kontraktor terpaksa menceburi bidang lain,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menekankan, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang turut menjurus kepada kontrak kerajaan membenarkan perubahan harga (VOP), memberi lanjutan masa (EOT) kepada projek kerja yang telah terjejas serta melaksanakan kerja-kerja undi bagi kontraktor G1 hingga G4 amat membantu dalam tempoh sukar ini.

Justeru, Amran menyeru semua pemain industri bergabung tenaga serta bekerjasama dengan PKMM supaya masalah yang dihadapi tidak terus menekan. 

“Kontraktor konsesi yang diberi kepercayaan oleh kerajaan perlu patuhi syarat asal konsesi iaitu konsep payung untuk membantu kontraktor kecil dengan memberi harga terbaik dan tidak memikir keuntungan semata-mata.

“Sesi libat urus antara PKMM serta pemain-pemain industri dengan pihak kerajaan perlu dipertingkat bagi membincangkan dasar-dasar berkaitan perkara berbangkit seperti pakej-pakej bantuan prihatin kepada industri binaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN