KDNK diunjur lebih rendah 4.2 peratus - Utusan Malaysia

KDNK diunjur lebih rendah 4.2 peratus

JALAN Petaling di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya sebelum ini sentiasa sibuk bertukar sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) mengunjurkan semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini kepada 4.2 peratus berbanding 5.1 peratus sebelumnya.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias berkata, semakan unjuran terbaharu itu diturunkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ‘lockdown’ yang berterusan sejak awal tahun ini.

Ujarnya, keadaan ini mencerminkan ramalan pertumbuhan yang lebih rendah untuk sektor bukan pembuatan di samping penawaran ekonomi serta penurunan untuk komponen perbelanjaan swasta permintaan agregat.

“Namun, unjuran untuk sektor pembuatan dan perdagangan luar ditingkatkan sejajar dengan pemulihan ekonomi global.

“Dari segi defisit fiskal, unjuran dinaikkan kepada 6.8 peratus berbanding enam peratus sebelum ini, selaras dengan pakej rangsangan tambahan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini,” katanya dalam taklimat prospek separuh kedua 2021 ekonomi Malaysia yang dijalankan secara maya, semalam.

Dalam taklimat sama, anggaran pertumbuhan perkhidmatan dimaklumkan telah diturunkan kepada 4.2 peratus berbanding 5.1 peratus, sementara sektor perlombongan dan sektor pertanian diturunkan kepada 1.3 dan 0.5 peratus daripada unjuran sebelumnya iaitu masing-masing 3.2 dan 1.8 peratus.

Permintaan domestik juga dijangka terus melemah hingga 4.7 peratus berbanding anggaran sebelumnya iaitu enam peratus setelah mengambil kira unjuran pertumbuhan yang lebih rendah untuk penggunaan swasta (3.9 peratus) dan pelaburan swasta (4.1 peratus).

Walaupun unjuran KDNK disemak turun, Suhaimi berharap Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap semasa iaitu 1.75 peratus untuk sepanjang tahun ini.

Beliau turut menjangkakan OPR akan meningkat 25 mata asas (bps) kepada dua peratus pada 2022.

Sementara itu, mengulas mengenai pasaran ekuiti negara, Ketua Penyelidikan Ekuitinya, Anand Pathmakanthan mengunjurkan KLCI bakal mengakhiri tahun 2021 dengan 1,720 mata.

“Ini berbeza dengan prestasi positif tahun lalu kerana KLCI ketinggalan jika dibandingkan dengan pasaran ekuiti di negara serantau pada separuh pertama 2021.

“Bagaimanapun, kami optimis indeks akan bertambah baik bermula suku keempat tahun ini, dipacu kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan pembukaan persidangan Parlimen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya