PETALING JAYA: Hab pembelajaran dalam talian, e-LATiH yang ditawarkan secara percuma oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menjangkau lebih 100,000 pengguna.
Hab yang dilancarkan pada Februari lalu menyaksikan kenaikan penggunaan yang mendadak antara Mei dan Julai tahun ini, dengan jumlah peningkatan daripada 72,252 pengguna pada 28 Mei kepada 108,355 pengguna minggu ini, dipacu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 1 Jun 2021.
Keseluruhan pengguna adalah terdiri daripada 52 peratus wanita dan 48 peratus lelaki. Ini merangkumi rakyat Malaysia yang bekerja (70 peratus), tidak bekerja (23 peratus) dan bekerja sendiri (7.0 peratus).
Ini menunjukkan sifat dinamik platform tersebut serta kemampuannya untuk menampung jumlah peserta yang pelbagai.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, platform e-pembelajaran tersebut mendapat sambutan dan perlu dimanfaatkan terutamanya ketika rakyat Malaysia memerlukan platform untuk meningkatkan pengetahuan dan prospek pekerjaan mereka di waktu yang mencabar dan kompetitif ini.
“Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan mendaftar dan memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka menerusi e-LATiH dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood memaklumkan, e-LATiH dilaksanakan sebagai sebahagian daripada misi memperluas peranan HRD Corp daripada memacu usaha pembelajaran dan peningkatan tenaga kerja kepada memberikan peluang meningkatkan kemahiran dan melatih semula untuk semua warga Malaysia.
“Walaupun platform ini agak baharu, kami gembira apabila ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat tempatan. Selain percuma dan mudah untuk digunakan, platform ini turut menawarkan ratusan kursus berkualiti tinggi daripada pelatih dan penyedia latihan yang berwibawa di seluruh dunia.
“Ini menjadikan e-LATiH sesuai untuk semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada dari segi kehidupan, peringkat umur, perjalanan kerjaya dan banyak lagi,” ujarnya.
Program e-LATiH dibangunkan oleh HRD Corp dengan kerjasama Go1, satu daripada agregator e-pembelajaran terbesar di dunia dengan lebih daripada 320 kursus yang merangkumi bidang kemahiran utama seperti Pembangunan Peribadi, Pengurusan Projek, Kepimpinan, Pemasaran dan Inovasi, Pengaturcaraan, Digitalisasi, Kemahiran Kewangan, Bahasa, Komunikasi dan banyak lagi.
Antara kursus yang popular di e-LATiH termasuk Microsoft Excel 365, Panduan Pemimpin Berkesan untuk Pengurusan Masa dan Kemahiran Penyampaian Berkesan.
Setakat ini, e-LATiH telah merekodkan sebanyak 181,549 pendaftaran dalam semua kursus. Rakyat Malaysia yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau menjalani sendiri kursus e-LATiH’s boleh melayari https://elatih.hrdcorp.gov.my. – UTUSAN