PETALING JAYA: Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) memaklumkan bahawa pembinaan MRT Laluan Putrajaya berjalan lancar dan kini telah melepasi tahap 90 peratus siap keseluruhan.
Menurut MRT Corp, tahap kemajuan untuk fasa pertama antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Kampung Batu pula adalah 99 peratus.
Pada masa ini, operasi percubaan yang bermula pada 29 April lalu, sedang dilakukan oleh pengendali di sepanjang bahagian itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, dalam memastikan pengendali mencapai tahap kecekapan yang diperlukan, MRT Corp memutuskan untuk melanjutkan tempoh operasi percubaan.
“Jadual latihan asal telah terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dikuatkuasakan di kebanyakan wilayah Selangor dan lokasi terpilih di Kuala Lumpur,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, MRT Corp memutuskan untuk meminda tarikh pembukaan yang dijadualkan untuk MRT Putrajaya Fasa Satu ke pertengahan November 2021.
“Tarikh pembukaan baharu itu juga dipilih untuk dilaksanakan dalam Fasa Keempat Rancangan Pemulihan Nasional ketika ekonomi negara diharapkan dibuka sepenuhnya dan acara pelancaran boleh berlangsung,” katanya. – UTUSAN