BERMULA dengan berniaga kecil-kecilan dari rumah sekitar 2010, pengeluar produk jenama Dadih Marissa, Dhia Milyoun Sdn. Bhd kini bukan sahaja sudah dikenali di Perlis, malah produk syarikat tersebut sudah berjaya menembusi pasaran seluruh negara.
Semangat dan keyakinan untuk memastikan perniagaan yang diusahakan bersama ahli keluarga itu dapat pergi lebih jauh menjadi pendorong kepada Farhana Zainuddin, 34, memberi tumpuan kepada perusahaan itu.
Farhana yang merupakan Pengurus Operasi Dhia Milyoun sebelum ini bertugas sebagai jurutera di Petaling Jaya, Selangor sebelum melepaskan jawatan bagi mengusahakan perniagaan dadih tersebut pada 2014.
Katanya, perjalanan perniagaan yang diusahakan bersama kakak dan abang iparnya itu bukannya mudah dan perlu melalui pelbagai cabaran sehinggalah kini mereka mempunyai kilang sendiri di MARA Halal Park Kuala Perlis.
Ujarnya, syarikat yang sedang mengorak langkah untuk memperkenalkan produk susu dan dadih dengan teknologi pembungkusan retort bagi membolehkan makanan bertahan lebih lama itu pernah menjual produk mereka di pasar tani semasa mahu mula bertapak dalam usaha untuk memperkenalkan jenama tersebut.
“Peringkat permulaan untuk berniaga memang susah terutamanya untuk buat orang kenal dengan jenama Dadih Marissa. Kami berniaga di pasar tani, mengikut acara-acara berkaitan perusahan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempromosikan jenama walaupun pulangan tidak seberapa.
“Alhamdulillah, kini kami mampu untuk mengeluarkan kira-kira 26,000 unit dadih sebulan di kilang ini dan jumlah itu boleh mencecah sehingga 100,000 unit iaitu kapasiti maksimum pada Ramadan,” katanya ketika ditemui di kilangnya baru-baru ini.
Sementara itu, Farhana memberitahu, syarikat yang turut mengeluarkan produk susu berperisa dan serbuk dadih itu menyasarkan mengeluarkan produk dadih dan susu yang boleh disimpan di suhu bilik dengan perpindahan ke kilang tersebut serta pembelian mesin retort yang menelan pelaburan kira-kira RM500,000.
Jelasnya, pihaknya sudah menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk produk terbabit sejak 2019 dan dijangka membuat pengeluaran menjelang akhir tahun ini.
“Buat masa ini, kami dalam proses untuk mencari pembungkusan yang sesuai. Dengan adanya produk ini, kami menyasarkan dapat menembusi pasaran pasar raya dan juga ke Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, kami juga membuka peluang kepada PKS lain yang mahu menggunakan teknologi retort untuk bekerjasama dengan kami supaya produk makanan mereka boleh tahan lama. Walaupun produk retort kami belum dipasarkan lagi, namun kami telah bekerjasama dengan PKS lain menggunakan teknologi ini seperti produk sambal,” ujarnya.
Kata Farhana, selain memasarkan produk mereka yang harga bermula dari RM2.50 melalui ejen, meletakkan produk di stesen minyak, hospital, kedai makan dan pasar segar, pihaknya juga menjual produk dalam aplikasi Shoppe iaitu di Marissa Mart.
Tambahnya, syarikat yang mempunyai kira-kira 15 ejen aktif di seluruh Semenanjung, menyasarkan pertambahan ejen sehingga 30 orang pada tahun ini. – UTUSAN ONLINE