PETALING JAYA: Keputusan meletakkan Tabung Haji di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) 2013 yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan langkah terbaik dan proaktif bagi penambahbaikan struktur tadbir urus organisasi tersebut.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, langkah itu juga akan memberikan lebih keyakinan kepada masyarakat Malaysia sekiranya tadbir urus organisasi tersebut mencapai aras yang sama dengan pengurusan bank-bank Islam di negara ini.
Menurut beliau, sekiranya tadbir urus Tabung Haji berjaya diperkukuh, kemungkinan besar organisasi itu akan berkembang berlipat kali ganda dan terus menyokong perkembangan ekonomi Islam di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.
“Ini penting untuk mengelakkan beberapa kes berprofil tinggi Tabung Haji berulang lagi sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menyelamatkan simpanan dan pelaburan Tabung Haji termasuk menjual beberapa pegangan saham dan pelaburan yang tidak produktif malah merugikan.
“Malah, kerajaan terpaksa menerbitkan sukuk RM19.9 bilion untuk menstruktur semula kewangan Tabung Haji pada masa itu. Dengan adanya kawal selia oleh BNM dapat mengurangkan kekhilafan dan membendung isu lama berulang kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jelas beliau, Kementerian Kewangan telah menyatakan walaupun Tabung Haji dikawal selia oleh BNM, tetapi perubahan akan disesuaikan seperti yang berlaku kepada Bank Rakyat (Akta Koperasi 1993) dan Bank Simpanan Nasional (Akta Pembangunan Institusi Kewangan – DFIA) yang telah memperbaiki urus tadbir korporat masing-masing.
“Oleh itu, bukan satu masalah untuk menawarkan hibah yang berdaya saing dan konsisten di masa hadapan kerana untuk beberapa tahun awal, penyesuaian modal dan sebagainya akan disusun dengan lebih kemas,” ujarnya.
Minggu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji secara menyeluruh yang antara lain melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.
Jemaah Menteri turut menyenaraikan Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.
Keputusan itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana dikhuatiri akan memberikan kerugian kepada pendeposit sekali gus merosakkan imej kerajaan secara keseluruhan.
Berkenaan isu bantahan tersebut, beliau menjelaskan, keadaan itu berlaku kerana masalah komunikasi yang lemah antara kementerian dan rakyat.
“Kementerian Kewangan harus mempunyai sensitiviti sosial yang tinggi untuk menangani masalah komunikasi terutama di peringkat akar umbi. Kerajaan perlu mengadakan kempen supaya rakyat terutama dari kawasan luar bandar mendapat pendedahan yang betul mengenai kepentingan langkah baharu ini.
“Untuk itu, Tabung Haji perlu mengadakan majlis dialog dengan NGO, media dan pempengaruh sebelum mendapatkan maklum balas. Jangan kelihatan terlalu ‘memaksa’ kerana masyarakat Islam sangat sensitif dengan isu Tabung Haji,” tambah beliau. – UTUSAN ONLINE