PETALING JAYA: Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup pada 1,534.23 mata, 1.6 mata lebih tinggi berbanding semalam.
Indeks itu bergerak pada julat 1,531.84 hingga 1,541.11 mata sepanjang semalam dengan 104.83 juta unit saham bernilai RM3.46 bilion bertukar tangan.
Sebanyak 556 kaunter mencatat untung dan 373 kaunter rugi, manakala 421 kaunter tidak berubah.
Syarikat minyak dan gas yang dilanda kontroversi, Serba Dinamik Holdings Berhad masih kekal kaunter paling aktif dengan 174.46 juta unit sahamnya bertukar tangan.
FBM KLCI mencatat mata terendahnya dalam tempoh tujuh bulan apabila ditutup pada 1,532.63 mata semalam.
Penganalisis berpendapat faktor utama yang mempengaruhi pergerakan saham tempatan ketika ini ialah perkembangan kes jangkitan Covid-19, kadar vaksinasi dan prestasi ekonomi negara.
Berbeza dengan tahun lalu, kaunter sarung getah dijangka lemah disebabkan perkembangan proses vaksinasi di seluruh dunia yang semakin baik mengurangkan permintaan terhadap produk tersebut.
Sebaliknya, pelabur akan lebih memberikan perhatian kepada kaunter perbankan yang menjadi cerminan prestasi ekonomi negara. – UTUSAN