Buka ekonomi secara bersasar - Utusan Malaysia

Buka ekonomi secara bersasar

JALAN Petaling yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti perniagaan, lengang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menetapkan pembukaan ekonomi secara bersasar mengikut kawasan yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 rendah, bukan secara pukal mengikut negeri.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr. Abd. Halim Husin berkata, penetapan sebegitu lebih sesuai agar rakyat di kawasan yang tidak terjejas boleh meneruskan kehidupan seperti biasa dan perniagaan boleh beroperasi dengan lebih terbuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kata beliau, ia penting bagi membantu perniagaan memperoleh aliran tunai yang diperlukan untuk menampung kos pembayaran gaji pekerja dan kos lain.

“Contohnya di Melaka, kawasan Jasin tiada kes yang banyak, mungkin hanya lima atau enam kes. Namun di Ayer Keroh, kerana di sana banyak kilang, kes naik sehingga 800.

“Jika di kawasan Jasin tidak banyak kes, sepatutnya (kawasan tersebut) boleh bergerak ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abd. Halim, perniagaan memerlukan aliran tunai untuk menampung kos operasi bulanan mereka, terutamanya untuk bulan ini dan bulan hadapan kerana kebanyakan bantuan kerajaan hanya akan disalurkan pada bulan hadapan, September dan November.

Baru-baru ini, media mendedahkan surat daripada Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) dan Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (Jactim) yang meminta kerajaan menilai semula pendekatannya dalam menangani pandemik Covid-19.

Surat itu antara lain menggesa kerajaan menyelaraskan pendekatan yang lebih bersasar bagi membolehkan perniagaan melindungi pelaburan dan kakitangannya serta membenarkan industri beroperasi dengan kapasiti 10 peratus pekerja.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tindakan kerajaan yang hanya menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan memberi surat kebenaran semata-mata bukan jalan terbaik.

Jelasnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) harus memahami keseluruhan rantaian bekalan untuk setiap industri bagi memastikan tidak berlakunya ‘bottleneck’ ataupun kekangan dalam industri dari segi pembekalan produk atau perkhidmatan tertentu.

“Jika langkah proaktif ini tidak dilaksanakan oleh MITI, ia akan memberi persepsi yang negatif kepada pelabur sedia ada dan ada kemungkinan pelabur asing yang telah melabur di sini akan mengambil keputusan untuk membawa pelaburan mereka ke tempat lain.

“Lebih memburukkan keadaan, pelabur asing juga mungkin mempengaruhi bakal pelabur asing lain untuk tidak datang melabur di Malaysia.

“Justeru, MITI harus bekerjasama dengan lebih rapat lagi di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pelan Pemulihan Negara supaya sebarang penilaian strategi pengurusan pandemik dapat dilakukan dengan segera dan tidak menjadikan situasi yang melibatkan pelabur sekarang tidak menjadi lebih rumit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya