PETALING JAYA: Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) bekerjasama dengan Bakti Dinamik Sdn. Bhd. (Bakti Dinamik), anak syarikat Low Yat Group, untuk memberi lebih penawaran kepada pembeli Tribeca Serviced Suites (Tribeca) dengan model Hyundai percuma seterusnya melengkapkan pengalaman gaya hidup mewah dan suite berkualiti premium.
Kempen promosi yang menawarkan kereta Hyundai secara percuma dengan setiap pembelian unit Tribeca itu adalah untuk waktu terhad.
Antara model yang termasuk dalam kempen ini adalah segmen C Hyundai Elantra dan kenderaan pelbagai guna (MPV) 11 tempat duduk, Hyundai Grand Starex.
Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata, pemilihan Hyundai sebagai rakan kongsi Bakti Dinamik dalam kolaborasi tersebut merupakan satu penghormatan.
“Hyundai berjanji akan memberikan nilai yang luar biasa dan menawarkan tahap kemewahan yang tiada tandingan dalam produk kami dengan harga yang berpatutan.
“Kami gembira dapat bekerjasama dalam projek Tribeca dan yakin produk kami akan menawarkan gaya hidup premium selain pengalaman yang melengkapkan Tribeca dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan.
Hyundai mewujudkan pendekatan baharu untuk kemewahan dengan menampilkan kecanggihan, gaya berani, keselesaan berpanjangan dan kemudahan serta prestasi luar biasa yang menjadikan mereka dalam kategori kereta premium.
Dengan pemilikan kenderaan Hyundai baharu, pelanggan juga berhak mendapatkan Kad Kesetiaan Hyundai yang menawarkan keistimewaan keahlian eksklusif.
Ia merangkumi promosi bulanan eksklusif seperti potongan 20 peratus di KLIMA Fresh dan produk BlueChem.
Semua pusat jualan dan perkhidmatan sah Hyundai direka untuk menawarkan pengalaman yang memuaskan kepada pelanggan dengan perkhidmatan premium seperti perkhidmatan pick-up dan drop-off percuma, ruang istirehat dilengkapi wifi, stesen kerja, kemudahan kopi dan teh dengan makanan ringan serta kawasan tempat duduk yang selesa.
Tribeca adalah hartanah terkenal di tengah bandar yang terletak di Jalan Imbi. Hartanah itu berada dalam kedudukan yang strategik di persimpangan daerah kewangan masa depan Kuala Lumpur dan pusat beli-belah terkenal. – UTUSAN ONLINE