Bank Islam tawar perkhidmatan e-Mandate  - Utusan Malaysia

Bank Islam tawar perkhidmatan e-Mandate 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad kini menawarkan perkhidmatan e-Mandate, sebuah platform pungutan pembayaran berulang melalui ejen debit langsung yang dilantiknya, InfaqPay.

Penyelesaian baharu ini bakal memudahkan pelanggan yang berdaftar sebagai saudagar dengan InfaqPay untuk menguruskan proses pungutan pembayaran berulang seperti bil utiliti, premium insurans, keahlian persatuan dan zakat serta derma secara terus daripada akaun mengikut jadual yang ditetapkan.

Kemudahan baharu ini tersedia untuk pelbagai segmen meliputi badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kelab, agensi-agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, masjid serta sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, menerusi e-Mandate, pelanggan berdaftar dapat memanfaatkan kemudahan berteknologi yang lebih mudah, selamat serta mesra pengguna, selain menikmati gerbang pembayaran berulang secara automatik pada kos yang rendah.

Jelasnya, pelanggan juga dapat memantau aliran masuk tunai melalui laporan caruman secara masa nyata manakala saudagar, khususnya badan-badan amal, NGO dan pusat-pusat keagamaan seperti masjid dapat mempelbagai dan memperluas saluran pungutan sumbangan daripada masyarakat umum. 

“Inisiatif ini dapat mempertingkatkan nilai sumbangan awam bagi membolehkan mereka terlibat dalam mempergiat inisiatif-inisiatif yang membawa kebaikan kepada golongan sasar.

“Daripada perspektif pelanggan atau penderma pula, urusan pemindahan dana secara automatik bagi sumbangan, yuran dan lain-lain bayaran dapat dilakukan dengan lebih mudah dan segera kerana semuanya disempurnakan secara dalam talian dengan hanya satu langkah,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, Bank Islam komited dengan hasrat negara untuk membentuk masyarakat tanpa tunai. 

“Sehubungan itu, kami amat terbuka untuk berkolaborasi dengan rakan-rakan berpotensi bagi membina ekosistem penyelesaian kewangan yang holistik untuk pelanggan kami. 

“Memahami kekangan yang wujud akibat penularan wabak Covid-19, kami sentiasa berinovasi agar pelanggan dapat menikmati produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan semasa yang selamat, mesra pengguna dan cekap,” jelasnya.

Sejak diperkenalkan di pasaran pada 27 April lalu, InfaqPay kini mempunyai 20 saudagar yang berdaftar dengan lebih 3,000 transaksi berjumlah RM70,000 telah disempurnakan setakat ini. 

Bank Islam menyasarkan untuk mengumpul 40 saudagar baharu dan mencapai 30,000 transaksi menjelang akhir 2021 menerusi usaha-usaha agresif dalam mempromosikan e-Mandate di pasaran.

Dalam pada itu, pengasas InfaqPay, Ahmad Rashdan Ikhsan memberitahu, pengalaman selama lima tahun telah menginspirasikannya untuk menghasilkan sistem caruman secara dalam talian bagi memudahkan institusi dan pencarum. 

“Saya berhadapan dengan pelbagai situasi sewaktu menguruskan borang debit langsung pencarum daripada sebuah institusi. 

“Setelah hampir enam bulan perbincangan untuk memantapkan perkhidmatan debit langsung, akhirnya pihak Bank Islam telah memberi ruang kepada saya untuk berinovasi dan memanfaatkan sistem e-Mandate yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya