AEON Bersamamu bantu komuniti terjejas - Utusan Malaysia

AEON Bersamamu bantu komuniti terjejas

MAJLIS penyerahan bantuan barangan makanan asas oleh Yayasan AEON Malaysia, baru-baru ini. - GAMBAR/AEON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 2,700 keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 telah menerima bantuan daripada Yayasan AEON Malaysia (MAF) melalui program kemasyarakatan AEON Bersamamu.

Menurut MAF, ketua keluarga terbabit yang berkecimpung dalam industri karya kreatif (Karyawan), penerbangan dan perhotelan hilang punca pendapatan disebabkan pandemik yang melanda.

Sehingga kini katanya, MAF telah membelanjakan RM700,000 dalam menjayakan program-program kemasyarakatan melalui AEON Bersamamu.

Presiden MAF, Datin Noryahwati Mohd. Noh berkata, MAF akan melebarkan sayapnya untuk terus membantu mereka yang memerlukan, melalui kolaborasi dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyokong kesejahteraan komuniti. AEON Bersamamu akan diteruskan menerusi inisiatif kelestarian komuniti Sayap Bagimu,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, untuk fasa pertama, MAF akan menyumbang 1,000 kotak barangan makanan asas bernilai RM100 setiap satu, manakala fasa kedua, tambahan 2,000 lagi kotak juga bernilai RM100 setiap satu yang akan disalurkan kepada keluarga memerlukan.

Tambah Noryahwati, MAF sangat komited dalam menjayakan AEON Bersamamu di bawah inisiatif kelestarian komuniti Sayap Bagimu dengan peruntukan berjumlah RM300,000.

“Sesungguhnya, ramai di antara kita yang terkesan akibat pandemik ini dan kami amat bersyukur kerana dapat membantu. Adalah harapan kami, bantuan ini membawa keceriaan dan harapan kepada mereka,” katanya.

Program bantuan kemasyarakatan AEON Bersamamu menerusi inisiatif kelestarian komuniti Sayap Bagimu mensasarkan sumbangan kepada 3,000 keluarga di seluruh negara.

Orang ramai dijemput menyokong program ini dengan berkongsi rezeki untuk kelestarian komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya