KUALA LUMPUR: Syarikat e-dagang peralatan dapur artisan, Queenspree mengumumkan akan memulakan proses pengumpulan dana pusingan kedua daripada pelabur institusi dengan jumlah sasaran AS$242,000 (RM1 juta).
Berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit untuk tahun berakhir 2020, pendanaan orang ramai pusingan pertama pada akhir 2019 telah berjaya meningkatkan nilai pemegang saham Queenspree sebanyak 3.5 kali ganda.
Bagi tahun ini, Queenspree menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM1 juta dalam proses pendanaan pusingan kedua daripada pelabur-pelabur institusi pula.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rahman Md. Din berkata, bagi suku pertama tahun ini pihaknya telah mengembangkan aspek teknologi termasuk membangunkan sistem memproses penghantaran hari yang sama dan meningkatkan kemampuan analisis data mereka.
“Suntikan modal dari kempen pusingan kedua itu akan mendorong Queenspree ke fasa seterusnya, mengukuhkan status peneraju kami di Malaysia dan mengembangkan sayap kami ke Singapura dan Brunei.
“Walaupun Queenspree beroperasi secara digital, ia tetap fokus dalam memberi sentuhan perkhidmatan pelanggan yang peribadi dan khusus,” katanya.
Jelasnya, setakat ini Queenspree telah berjaya melatih seramai lapan orang pegawai perkhidmatan pelanggan yang sentiasa berinteraksi dengan pelanggan secara aktif melalui semua platform komunikasi digital mereka.
Ujarnya, melalui pendekatan itu, pelanggan mendapat khidmat nasihat dan bantuan teknikal yang pantas merangkumi aspek kesesuaian produk, cara penggunaan, tips penjagaan, pilihan warna serta pilihan pembayaran yang sesuai.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan Queenspree, Rafiza Abd. Hamid berkata, pihaknya bangga dengan kepercayaan yang diberikan oleh komuniti peminat produk dapur artisan yang sehingga kini mempunyai hampir 100,000 pengikut di seluruh platform sosial dan laman webnya.
“Perkongsian dan interaksi yang berterusan dengan komuniti ini membolehkan Queenspree mempunyai pemahaman mendalam tentang keperluan pelanggan kami.
“Itu mendorong kami untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi nilai tambah kepada pelanggan,” tambah Rafiza.
Menurut Rafiza, menerusi hubungan dagang langsung dengan pembekal, pemilikan rantaian bekalan yang menyeluruh serta sistem memproses pesanan yang efisien, Queenspree mampu membuat penghantaran hari yang sama di kawasan Lembah Klang dan penghantaran 1 hingga 3 hari untuk Semenanjung.
Selain itu, katanya, platform e-dagang Queenspree turut bekerjasama dengan GrabPay, Hoolah, iPay88 dan Maybank EzyPay dalam menawarkan pilihan pembayaran yang selamat dengan kemudahan pembayaran ansuran tanpa faedah antara 3 hingga 12 bulan.
Mengulas lanjut, Abdul memberitahu, jumlah pelawat ke laman web queenspree.com menunjukkan peningkatan pada kadar 331 peratus dari tahun ke tahun. Manakala, kadar pelanggan kembali membeli mencatat 25.5 peratus.
“Kadar itu adalah kadar yang kompetitif bagi sektor e-dagang barangan nilai tinggi dan kami akan terus berusaha meningkatkan kepuasan pelanggan melalui pelaburan dalam teknologi dan penambah baikan perkhidmatan kerana ia penting untuk fasa perkembangan kami yang seterusnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE