PUNB sedia RM50 juta bantu peniaga bumiputera dibuang kerja - Utusan Malaysia

PUNB sedia RM50 juta bantu peniaga bumiputera dibuang kerja

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) meneruskan bantuan kepada individu bumiputera yang menceburi bidang perniagaan akibat kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 dengan menambah pembiayaan sebanyak RM50 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, dengan penambahan peruntukan menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 (SPUR) itu, pihaknya mensasarkan sebanyak 1,000 individu akan menerima manfaat.

Menurut Noh, sebelum ini, PUNB menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta yang mana setiap individu ditawarkan pembiayaan antara RM50,000 sehingga RM100,000 dengan beberapa syarat yang agak ketat.

“Bagaimanapun, melihat kepada situasi terkini Covid-19, hasil perbincangan dilakukan bersama ahli Lembaga Pengarah, kita telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta yang mana setiap pemohon akan ditawarkan bantuan pembiayaan sehingga RM100,000.

“Malah, kita juga melonggarkan syarat permohonan iaitu pemohon hanya perlu melampirkan bukti diberhentikan kerja dan modal yang dikeluarkan untuk membuka perniagaan yang diusahakan.

“Sejak skim ini dibuka Mei lalu, kita menerima sebanyak 2,052 pendaftaran, namun permohonan yang lengkap hanya 124 sahaja. Oleh demikian, selain melihat permohonan baharu, kita juga akan menyemak semula borang yang tidak lengkap untuk dipertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB,  Izwan Zainuddin dan Timbalannya, Abdul Jammi Abdul Karim.

Dalam pada itu, Noh berkata, pihaknya juga akan melanjutkan moratorium secara automatik kepada pembayaran balik pembiayaan sebanyak 50 peratus bermula Julai sehingga 31 Disember ini berbanding 30 Jun sebelum ini. 

“Pemberian penangguhan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada 2,330 rakan usahawan PUNB, tetapi 718 penerima pembiayaan ‘Bumiputera Relief Financing’ (BRF). Bagi penangguhan untuk keseluruhan tahun ini akan melibatkan kekurangan kutipan RM92.75 juta. 

“Selain itu, 230 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara juga menerima manfaat dengan diberikan diskaun sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Julai ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya