PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Bruas di bawah kendalian Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd., berpotensi besar menjadi gerbang utama pengendalian kargo kontena dan konvensional di tengah Semenanjung.
Ini berikutan kedudukannya yang strategik di selat Melaka dan kejayaan Tanjung Bruas Port, ahli Kumpulan MMC, memulakan penghantaran pertama pelet kayu dari terminal di Tanjung Kling, Melaka itu ke Korea Selatan.
Penghantaran membabitkan sebanyak 10,200 tan metrik pada 26 April dan tiba di Pelabuhan Gunsan, Korea Selatan 9 Mei lalu.
Pelet Kayu merupakan sejenis bahan bakar biomas digunakan sebagai tenaga hijau di loji janakuasa. Pelet kayu merupakan bahan bakar pelet paling biasa dan umumnya dibuat daripada habuk papan yang dipadatkan.
Menurut Tanjung Bruas Port, eksport pelet kayu ke negara berkenaan dari Melaka akan meningkat kepada dua penghantaran sebulan.
Jelasnya, Pelabuhan Tanjung Bruas mampu mengendalikan pelbagai jenis kargo iaitu Pukal Kering seperti gipsum dan tempurung kelapa sawit, kargo pukal cerai dan pukal cecair seperti minyak asas pelumas dan gas amonia.
Sementara itu, Pengarah Tanjung Bruas Port, Md. Derick Basir berkata, penghantaran tersebut bukti kemampuan Pelabuhan Tanjung Bruas dalam mengendalikan pelbagai jenis kargo dan dapat melakukan penghantaran kepada pelanggan domestik dan atarabangsa.
“Operasi penghantaran berjalan lancar dan hanya mengambil masa selama 88.8 jam, walaupun berdepan cuaca buruk,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Living Nature Sdn. Bhd., pemilik dan pengeksport kargo, Andy Eng berkata, penghantaran itu adalah satu kejayaan dan menunjukkan kemampuan serta kecekapan operasi Pelabuhan Tanjung Bruas.
“Kami sangat gembira melihat kemajuan pelabuhan ini dan kami sangat yakin Pelabuhan Tanjung bruas berpotensi besar menjadi pelabuhan pintu masuk (gateway port) bagi pemain industri Melaka dan perniagaan sekitarnya,” katanya. – UTUSAN