Pendapatan Ambank melonjak 7.7 peratus - Utusan Malaysia

Pendapatan Ambank melonjak 7.7 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group) merekodkan pendapatan sebanyak RM4.6 bilion dan keuntungan sebelum peruntukan sehingga RM2.4 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2021, masing-masing melonjak 7.7 dan 14.2 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Keputusan itu mencerminkan kekuatan francais kumpulan yang pelbagai dan strategi pengurusan yang kos efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, kumpulan turut mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras sebanyak RM961.6 juta selepas disesuaikan untuk item terkecuali sebanyak RM4.8 bilion dan perbelanjaan perundangan serta profesional yang berkaitan.

“Dengan keadaan ekonomi yang mencabar, prestasi kewangan kumpulan banyak dipengaruhi oleh item terkecuali dan caj penurunan nilai lebih tinggi sebanyak RM1.13 bilion disebabkan kesan Covid-19 yang berlanjutan terhadap ekonomi.

“Teras PATMI, tidak termasuk item terkecuali dan perkara berkaitan adalah 28.3 peratus lebih rendah dari tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sulaiman memaklumkan, pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM114.8 bilion, didorong oleh pertumbuhan perbankan runcit dan perbankan perniagaan yang mengatasi pertumbuhan industri sebanyak tiga peratus.

“Gadai janji meningkat RM3.6 bilion menjadi RM40.1 bilion dan pinjaman kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat sebanyak RM2 bilion kepada RM22.8 bilion.

“Deposit daripada pelanggan turut mencatat peningkatan 6.7 peratus kepada RM120.5 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh baki CASA yang meneruskan momentum pertumbuhannya menerusi kenaikan 24 peratus kepada RM35.8 bilion,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sulaiman memaklumkan, situasi pandemik semasa akan terus mengganggu kesejahteraan dan perniagaan di Malaysia serta peringkat global.

Sejak April tahun lalu, beliau menjelaskan kumpulan secara aktif memberikan langkah bantuan kewangan kepada pelanggan dan berjaya membantu mereka meneruskan pembayaran secara normal.

“Dalam pada kita memasuki tahun kewangan baharu, Ambank Group akan memfokuskan usaha memperkukuh imbangan penyata, pemulihan hutang pelanggan dan mengekalkan kecairan yang lebih tinggi di samping meningkatkan kecekapan kos.

“Walaupun tahun kewangan 2021 memberi cabaran kepada kumpulan, kami akan terus mara ke hadapan serta merealisasikan potensi dan fokus kepada pertumbuhan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya