PETALING JAYA: Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menghasilkan inovasi formulasi baja mengandungi nutrien seimbang yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil buah sawit.
Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi baja sebatian yang dikenali sebagai MPOB F3 adalah dalam bentuk butiran padat dan diformulasi dengan nisbah seimbang nitrogen, fosfat, kalium, magnesium dan borate yang dirumus khas buat pokok sawit yang ditanam di tanah mineral.
“Formulasi baja MPOB F3 mengandungi nutrien seimbang juga sesuai untuk kelapa sawit yang ditanam di pelbagai jenis tanah.
“Pokok sawit perlu pembajaan yang sempurna termasuk kandungan nutrien seimbang untuk pengeluaran hasil yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, walaupun keperluan nutrient adalah khusus mengikut keadaan setempat, penggunaan nisbah nutrient yang seimbang dalam baja sebatian akan memberikan input nutrien yang bersesuaian pada lokasi yang berbeza.
Menurut Ahmad, penggunaan baja secara sistematik akan meningkatkan pengeluaran buah tandan sawit dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi pengusaha ladang dan pekebun kecil.
Katanya, penggunaan baja MPOB F3 itu dapat menjimatkan kos kerana berupaya mengurangkan kehilangan nutrient dan meningkatkan keupayaan pengambilan nutrien oleh akar pokok.
Ujarnya, pengenalan formulasi baja seimbang itu dapat mengurangkan kesan negatif persekitaran berkaitan dengan kadar penggunaan baja yang berlebihan, penurunan kualiti tanah dan pencemaran dari logam berat.
“Penyelidikan formulasi baja seimbang bermula dari tahun 1990 dan pemilihan bahan mentah sebagai sumber baja untuk formulasi adalah berdasarkan keberkesanan kos, konsistensi kandungan nutrient sesuai untuk pengadunan serta penyebatian.
“Rumusannya merangkumi perapi atau zeolite untuk meningkatkan pemulihan nutrien oleh tanaman sawit,” tambahnya.
MPOB telah menandatangani perjanjian dengan FGV Fertiliser Sdn. Bhd. (FGV Fertiliser) bagi pengkomersialan baja tersebut.
Majlis penyerahan dokumen antara MPOB dan FGV Fertiliser telah disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi semasa Majlis Pra Pelancaran Webinar TOT 2021 pada April lalu. – UTUSAN ONLINE