KUALA LANGAT: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) komited untuk mewujudkan Pasar Segar Terkawal (PST) bagi membantu ahlinya yang terkesan dengan Covid-19 memasarkan hasil pertanian mereka sekali gus menyelesaikan masalah lambakan hasil pertanian.
Menurut Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim, terdapat 27 PST seluruh negara yang fokus utamanya sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian dan platform kepada ahli-ahli peladang menyelesaikan masalah pemasaran.
“Pengoperasian PST ini selaras dengan fungsi dan peranannya sebagai salah satu akses pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya kepada pemberita di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Jalan Waja Teluk Panglima Garang dekat sini, semalam.
Yang hadir sama Pengarah LPP negeri, Aduni Adlin Mohd. Bee dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat, Abdul Razak Khasbullah.
Azulita berkata, PST mencatat transaksi perniagaan bernilai hampir RM5 juta dalam tempoh tiga minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Mengenai operasi PST, Azulita berkata, orang ramai boleh mengunjungi PST berhampiran yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari selaras dengan arahan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa.
“PST juga menawarkan alternatif jualan dalam talian dan perkhidmatan ‘cash on delivery’ (COD).
“PST menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi mengangkut hasil-hasil pertanian terus dari ladang atau kampungkampung dan dihantar terus ke PST berhampiran, malahan petani boleh memasarkan dan menjual sendiri produk mereka terus kepada pengguna,” katanya.
Jelasnya lagi, kewujudan PST memastikan para petani dapat terus berniaga dan sedikit sebanyak mengurangkan kerugian kerana hasil tanaman yang rosak ekoran PKP.
“Ia juga dapat memenuhi kehendak penduduk setempat untuk membeli barangan keperluan tanpa perlu bersesak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.
Beliau menambah, antara barangan yang ditawarkan di PST LPP adalah sayur-sayuran, buahbuahan, ayam, ikan, hasil laut, daging, barangan runcit, barangan asas tani dan produk Jenama Peladangku. – UTUSAN