Industri kayu catat prestasi kukuh suku pertama 2021 - Utusan Malaysia

Industri kayu catat prestasi kukuh suku pertama 2021

INDUSTRI kayu negara mencatatkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2021. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor berasaskan kayu merekodkan prestasi kukuh dalam suku pertama tahun ini dengan jumlah eksport meningkat 9.9 peratus kepada RM6.04 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi tersebut dipacu pertumbuhan eksport yang menggalakkan ke tiga pasaran utama negara iaitu Eropah, Amerika dan Oceania.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Muhtar Suhaili berkata, pasaran eksport ke Eropah mencatat pemulihan dengan kenaikan 9.9 peratus kepada RM561.2 juta berikutan peningkatan produk dan perabot kayu hasilkan sendiri (DIY) daripada golongan yang bekerja dari rumah.

Ujarnya, tiga produk utama untuk pasaran tersebut adalah perabot kayu (RM242.9 juta), produk kayu tanggam (RM96.5 juta) dan kayu gergaji (RM73.9 juta). 

“Eksport ke benua Amerika, pasaran terbesar negara melonjak 46.9 peratus kepada RM2.44 bilion. Amerika Syarikat (AS) adalah penyumbang utama di pasaran ini dengan pembelian lebih 60 peratus daripada eksport perabot kayu negara dan meningkat 47.1 peratus kepada RM1.93 bilion. 

“Pertumbuhan positif ini adalah disebabkan pakej rangsangan ekonomi di negara tersebut bagi mengurangkan beban individu dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta pergeseran perdagangan antara AS dengan China yang secara tidak langsung membuka peluang perniagaan kepada negara-negara ASEAN termasuk Malaysia. 

“Selain itu, eksport ke pasaran Oceania seperti Australia dan New Zealand turut merekodkan peningkatan 19 peratus kepada RM297.7 juta,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Muhtar memaklumkan, eksport ke pasaran Afrika dan Asia masing-masing bagaimanapun mengalami penurunan 5.1 dan 11 peratus kepada RM91.8 juta dan RM2.66 bilion. 

Katanya, nilai eksport ke pasaran Asia Barat menyusut 35.3 peratus, Asia Timur 6.8 peratus dan Asia Selatan 8.1 peratus. 

“Trend penurunan permintaan di Asia Timur disebabkan perang perdagangan antara China dan AS serta Eropah, ditambah dengan perayaan Tahun Baharu Cina lalu kerana aktiviti pengilangan berehat selama 40 hari. Permintaan dari China dijangka melonjak semula pada suku kedua.

“Selain itu, gelombang kedua penularan wabak di India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut menghadkan aktiviti komersial menjejaskan eksport kayu negara manakala Jepun mengambil pendekatan mengurangkan bekalan import bagi menggalakkan penggunaan kayu domestik menerusi pelbagai promosi dan insentif,” jelasnya.

MTC sentiasa menjalankan pelbagai usaha bagi membantu syarikat berasaskan kayu mengekalkan kelangsungan perniagaan antaranya, program menggalakkan industri ke arah pendigitalan dan e-platform serta membuka peluang perniagaan menerusi webinar, dialog maya dan sesi padanan perniagaan (B2B) secara dalam talian.  

Pada tahun ini, MTC telah menganjurkan lapan webinar mengenai pemasaran digital dengan penyertaan lebih 560 peserta dan satu webinar tentang peluang perolehan sumber bahan mentah import sebagai alternatif ke arah mewujudkan produk nilai tambah yang lebih tinggi.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN