PETALING JAYA: Kebenaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 mereka sekali lagi, atau i-Sinar 2.0 seharusnya menjadi pilihan terakhir untuk membantu rakyat yang dalam kesempitan ketika ini.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, permintaan untuk i-Sinar 2.0 wujud kerana rakyat semakin tertekan akibat kekangan aktiviti ekonomi yang berterusan, malah ada dalam kalangan mereka yang sudah kehabisan simpanan.
Beliau berpendapat, langkah itu sekiranya tidak dapat dielakkan, perlu diberi penelitian rapi oleh kerajaan sebelum dilaksanakan.
“Seperti yang kita tahu, tahap tabungan KWSP khususnya untuk golongan B40 amat tidak memuaskan. Jika dihabiskan, ia bakal mencetuskan krisis sosial pada masa hadapan apabila mereka bersara dan tiada simpanan.
“Namun, jika tabungannya memuaskan dan ada ruang untuk melakukan pengeluaran, ia seharusnya dibenarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, beberapa pihak mendesak kerajaan supaya melaksanakan i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, KWSP dan Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan isu tersebut.
Bagi Baharom, pilihan terbaik adalah supaya kerajaan melakukan lebih suntikan fiskal untuk membantu rakyat walaupun terpaksa menambah hutang kerana negara ketika ini berada dalam situasi luar biasa dan masa hadapan rakyat kini menjadi taruhannya.
“Kerajaan juga harus melaksanakan moratorium automatik, bukan bersasar untuk meringankan beban rakyat.
“Kerajaan juga harus menggalakkan rakyat, khususnya golongan T20 dan M40 yang menerima moratorium automatik agar menggunakan ‘cuti’ membayar pembiayaan ini untuk membantu rakyat yang menderita.
“Ini barulah ‘kita jaga kita’ dan ‘kita menang bersama’,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pencarum diberikan pembiayaan yang dijamin oleh tabungan KWSP masing-masing dan pembayaran boleh dilakukan secara potongan ansuran.
Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kepada pencarum, malah dapat membantu masalah pencairan aset oleh KWSP. – UTUSAN ONLINE