Celcom-Digi dijangka perhebat tawaran kepada pengguna - Utusan Malaysia

Celcom-Digi dijangka perhebat tawaran kepada pengguna

PENGGABUNGAN Celcom dengan Digi dijangka memperhebat tawaran kepada penggunanya memandangkan kedua-dua jenama itu berada dalam segmen pasaran berbeza. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggabungan Celcom dan Digi dijangka memberi kesan positif kepada 40 peratus pasaran penggunanya menerusi perkhidmatan dan penawaran yang diperhebat.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jangkaan tersebut adalah kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai posisi di segmen berlainan dalam pasaran iaitu Celcom di segmen premium manakala Digi di segmen ekonomi.

“Dengan menggunakan infrastruktur yang sama, gabungan kedua-dua syarikat ini juga dapat mengurangkan kos keseluruhan secara purata, yang ditaksirkan sebagai senjata utama untuk menaiktaraf tawaran sedia ada dengan harga lebih rendah berbanding pesaing.

“Sumber syarikat seperti kewangan, teknologi dan sumber manusia telah digandakan penerusi gabungan, seterusnya boleh digunakan untuk meningkatkan pencapaian untuk berada di tahap lebih baik dari sebelum penggabungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, berdasarkan pasaran tempatan semasa, gabungan Celcom dan Digi hanya merangkumi sekitar 40 peratus daripada keseluruhan pasaran telekomunikasi negara manakala pesaing lain seperti Maxis, TM, Time dan U-Mobile masih menguasai bakinya.

Justeru katanya, tiada isu gabungan berkenaan membentuk oligopoli dan jauh sekali duopoli. 

“Persaingan industri cukup sengit pada waktu ini dan dijangka akan terus bersaing secara sihat malah lebih menguntungkan pengguna terutamanya bila negara beralih ke teknologi 5G. 

“Selain itu, apabila blok-blok ekonomi dibuka dgn lebih luas contohnya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), pastinya negara harus mempunyai syarikat-syarikat telekomunikasi yang mantap untuk mengharungi saingan apabila sempadan perdagangan dibuka dengan lebih meluas,” jelasnya.

Aimi Zulhazmi menambah, disebabkan itu, penggabungan ini mesti disokong supaya lebih bersedia ke persada antarabangsa. 

“Ini penting kerana bidang IT termasuk telekomunikasi berkembang pesat di dalam kancah pandemik Covid-19 di seluruh dunia. Syarikat-syarikat Malaysia harus bersedia mengambil peluang ini supaya mampu berkembang pesat apabila dunia pulih daripada pandemik,” katanya.

Baru-baru ini, dua jenama telekomunikasi besar negara, Celcom dan Digi sah bergabung selepas Axiata, Telenor Asia Pte. Ltd. dan Digi.com Berhad mengumumkan telah menandatangani perjanjian transaksi penggabungan tersebut.

Menurut Axiata dan Telenor, pihaknya telah menyelesaikan langkah ketekunan wajar yang perlu dan Celcom Axiata Berhad bersama Digi akan membentuk entiti penyedia perkhidmatan digital yang lebih berdaya tahan serta kukuh secara komersial, yang akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk mencapai impian pendigitalannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN